10 Januari 2012

Warga asing tergelincir

16 Safar 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH - Penduduk di Kampung Air Tawar di sini digemparkan dengan penemuan mayat lelaki warga Vietnam di pantai kampung berkenaan kira jam 11.55 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mangsa yang merupakan seorang tekong bot dikenali sebagai Ngugen Ven Phue, 32, dipercayai jatuh ke laut akibat tergelincir.

”Pada masa kejadian yang berlaku di Jeti Yee Trading, Tok Bali mangsa dikatakan hendak melompat dari bot ke bot lain dan tergelincir jatuh ke dalam air serta tidak timbul-timbul,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini,
semalam.

Mohd Kamal berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam kira-kira 9.30 malam Sabtu lalu dan selepas dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut pihak polis terus menjalankan gerakan mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat melibatkan polis, bomba dan penyelamat serta Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) dijalankan akhirnya mayat mangsa ditemui terdampar tepi pantai yang jaraknya empat kilometer daripada tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati mengejut akibat lemas dan dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: