30 Januari 2012

Penagih tegar joli sembilan hari

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

HULU TERENGGANU – Seorang penagih tegar sempat ‘berjoli’ sembilan hari dengan duit bernilai lebih kurang RM38,000 hasil pecah masuk sebuah rumah di Kampung Felda Bukit Bading, Ajil sebelum dia ditahan jam 11.30 malam, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, suspek berjaya memecah masuk ke rumah mangsa dan melarikan barang kemas masing-masing tiga urat gelang tangan dan empat bentuk cincin serta tunai.

“Kejadian berlaku pada 16 Januari lalu yang disedari pemilik rumah, Abdul Wahab Taib, 68, kira-kira 9 malam setelah pulang daripada menunaikan solat Isyak bersama isteri di masjid kampung berkenaan.

“Pasangan ini terkejut apabila memasuki rumah dan mendapati barang berselerak setelah mendapati tingkap bilik tidur terdapat kesan diumpil dan terbuka, lalu membuat laporan di Balai Polis Ajil,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini semalam.

Menurutnya, atas maklumat awam yang diterima, pada 25 Januari lalu, sepasukan anggota Balai Polis Ajil berjaya menahan suspek berumur 32 tahun yang beralamat di Kampung Felda Bukit Bading di tepi jalan di kampung berkenaan.

“Hasil siasatan, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau mengaku terlibat dalam kes ini dan barang kes iaitu gelang tangan emas sudah dijual kepada pembeli emas di Bandar Kuala Berang.

“Barang kes berjaya dirampas di kedai berkenaan, manakala pembeli turut ditahan untuk memberi keterangan lanjut kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Rosli berkata, barang kes yang dirampas berbentuk dua urat gelang tangan emas yang sudah dileburkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: