30 Januari 2012

19 ditahan ketika judi Balangkas

6 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Keasyikan 19 orang termasuk tiga wanita berjudi di sebuah rumah di Bagan Lipas Laut, Bagan Datoh, dekat sini terhenti apabila mereka di serbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Hilir Perak sempena Ops Limau, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Mohammad Zaki Harun berkata, kesemua mereka yang berumur dari 29 hingga 58 tahun itu tergamam sebaik rumah berkenaan diserbu masuk sekumpulan 11 anggota polis yang diketuai oleh Inspektor Saiful Bahari kira-kira jam 1.45 pagi semalam.

Katanya, pemantauan serta intipan dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan mencurigakan di rumah berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat, mendapati 19 orang termasuk tiga daripadanya wanita sedang asyik bermain judi jenis Balangkas.

Beliau berkata, pihaknya menahan kesemua yang disyaki itu dan merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian termasuk cip, mangkuk tembikar, buah dadu dan keratan tikar getah.

“Pihak kami turut merampas wang tunai RM66,596.00 dari meja perjudian dan juga daripada suspek yang ditahan itu.

“Kesemua suspek kini ditahan di IPD Hilir Perak untuk siasatan dan katanya pihaknya akan menyiasat kes ini di bawah seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala pemilik rumah berkenaan pula turut akan di siasat di bawah seksyen 4(1)(b) akta yang sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Zaki berkata, Polis Teluk Intan berjaya menahan enam suspek yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di Taman Anggerik, dekat sini.

Menurutnya, kesemua suspek melarikan 50 buah telefon bimbit baru pelbagai jenama, sejumlah memori kad, sejumlah pek kad permulaan Celcom dan wang syiling lebih kurang RM100.

Katanya, sebelum kejadian pemilik kedai berkenaan menutup perniagaannya seperti biasa jam 7 petang kelmarin namun pemilik kedai berkenaan terkejut mendapati kedainya di pecah masuk dan keadaan kedainya berselerak apabila membuka kedainya jam 7 pagi semalam untuk memulakan perniagaannya seperti biasa.

“Bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, sepasukan anggota polis yang diketuai Pegawai Penyiasat Kanan, Inspektor Yuswadi Yusuf menyerbu sebuah rumah di Jalan Changkat Jong, dekat sini dan menahan enam lelaki dan merampas wang syiling RM100, sembilan buah telefon bimbit daripada 50 buah yang dilaporkan dicuri, satu pendrive dan tiga pengecas bateri telefon bimbit.

“Empat daripada mereka di tahan reman selama empat hari manakala dua yang lain di reman selama dua hari untuk siasatan namun seorang lagi berjaya menghilangkan diri dan sedang di buru pihak kami dan kes di siasat di bawah Sekyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Zaki juga menasihatkan orang ramai yang di datangi mana-mana pihak yang ingin menjual telefon bimbit dengan keadaan mencurigakan supaya segera memaklumkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: