03 Februari 2012

Hidup merempat selepas diusir

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Satu ­keluarga terpaksa hidup serba kekurangan selepas didakwa menceroboh di tanah sendiri oleh individu tertentu sebelum diusir keluar dan membina pondok usang di tepi ­sungai, dekat sini.

Zulghafar Abd Jalil, 48, bersama isteri, Aida Ridfa, 42, dan dua anak, Siti Hajar, 15, dan Muhammad Imran, 8, kini berlindung di pondok usang di Kampung Sungai Petai, di sini.

Mereka sekeluarga hanya berteduh di kawasan yang hanya dikepung menggunakan papan nipis dan zink karat berlubang, malah hanya berlantaikan tanah serta tanpa bekalan elektrik dan air.

Zulghafar berkata, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) selama enam tahun terletak di tanah milik individu terbabit yang bersetuju mengizinkan ­ rumah berkenaan didirikan di situ tanpa timbul sebarang pertikaian.

Walau bagaimanapun katanya, mengejutkan apabila pada awal tahun lalu, mereka diarahkan keluar dari rumah itu dengan alasan dia ­ sekeluar­ga bersikap keras kepala dan berdegil untuk berdamai.

“Mereka juga mendakwa kami menceroboh tanah ­miliknya untuk mendirikan rumah berkenaan yang mulai kami diami pada Februari ­tahun lalu yang didakwa tidak sah,” katanya.

Katanya, dia dan isterinya kini menyara hidup anak beranak dengan menoreh getah dan tidak ­memiliki sebarang kenderaan untuk bergerak akibat masalah penglihatan yang dihidapi.

“Saya terkejut dengan ­tindakan individu terbabit yang turut mengusir kami menggunakan kuasa sidang kampung.

“Malah, kami turut diugut untuk disaman setiap kali ada perselisihan faham termasuk membabitkan anak-anak saya,” katanya.

Menurutnya, bimbang keselamatan isteri dan ­anak-anaknya, dia mendapatkan ­kebenaran dari pemilik tanah untuk menumpang mendirikan pondok yang diduduki mereka sekarang.

“Saya terpaksa mengeluarkan wang simpanan persekolahan anak-anak bagi membeli papan nipis yang kini mengepung tempat tinggal kami.

“Kami perlu melalui ­belukar dan meniti anak ­sungai untuk ke pondok usang ini dengan jarak kira-kira 300 meter dari jalan perkampu­ngan,” katanya.

Dia yang tertekan dengan keadaan itu tidak menafikan bimbang sekiranya masalah yang berlaku menjejaskan ­pelajaran dua anaknya, tambahan anak sulungnya yang ­bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini.

“Hanya dengan pelita dan lilin, saya berjaga menemani anak untuk mengulang kali pelajaran menduduki PMR ­tahun ini dan lebih merisaukan apabila anak bongsu saya diserang asma setiap kali hujan.

“Masalah ini sudah pun dibawa kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya yang turut bimbang keselamatan mereka ­ ­terancam dengan kehadiran haiwan ­berbisa yang kerap masuk ke pondok mereka.

Sinar Harian

Tiada ulasan: