03 Februari 2012

Lynas: Rakyat mangsa uji kaji, kata Fuziah

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Permohonan Lesen Kendalian Sementara (TOL) oleh Syarikat Lynas yang diluluskan dalam mesyua­rat Ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) Isnin lalu adalah di luar jangkaan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, syarat yang dikenakan LPTA terhadap syarikat itu dahulu dianggap sebagai penolakan terhadap permohonan mereka untuk beroperasi, namun yang berlaku sebaliknya.

“LPTA buat satu keputusan tidak masuk akal. Syarat meminta Lynas bertanggungjawab ke atas sisa buangan radioaktif Lynas Advance Material Plant (LAMP) termasuk menghantar sisa tersebut ke tempat asalnya di lombong tidak munasabah.

“Tambahan pula, Menteri Perlombongan Australia Barat, Norman Moores telah buat kenyataan bahawa Australia tidak akan menerima sisa itu dan menegaskan ia milik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, syarat yang mengatakan Lynas diberi tempoh 10 bulan untuk menyediakan Pelan Pengurusan Sisa Buangan dalam bentuk Permanent Disposal Facility (PDF) boleh ditangguhkan sehingga mereka menunjukkan kesungguhan menguruskan sisa toksid dan radioaktif secara bertanggungjawab.

“Keputusan ini tidak lain tidak bukan membuktikan LPTA bersekongkol dengan Lynas untuk menjadikan warga Kuantan sebagai bahan uji kaji seperti ‘tikus makmal dalam tempoh 10 bulan lagi’.

“Barisan Nasional (BN) perlu bertanggungjawab sekiranya benar sebagaimana dakwaan akhbar New York Times berkenaan pembatalan perjanjian oleh syarikat AkzoNobel sebagai pembekal resin kepada LAMP atas sebab spesifikasi yang tidak mengikut syarat,” katanya.

Menurut Fuziah, sekiranya kerajaan benar bertanggungjawab, mereka boleh memberi amaran kepada Lynas bahawa lesen tidak boleh dikeluarkan melainkan sya­rat pengurusan sisa radioaktif disediakan dalam bentuk PDF.

Sinar Harian

Tiada ulasan: