03 Februari 2012

PAS kutuk bakar rumah, kereta TPJ Johor

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Feb: PAS mengutuk tindakan yang disyaki sabotaj berhubung kebakaran yang berlaku ke atas rumah dan kereta Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkifli Ahmad di Taman Universiti, Johor Bahru awal pagi ini.

“PAS menggesa pihak polis melakukan siasatan dan tindakan segera,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menggesa ahli-ahli supaya bertenang dan menyerahkannya kepada pasukan keselamatan.

DAP Perak turut mengutuk keras perbuatan jijik membakar rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor itu.

“Polis tolong bertindak segera!” tulis setiausahanya, Nga Kor Ming melalui twitter.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 pagi tadi, sebuah kereta BMW milik Dzulkifli serta tingkat bawah rumahnya hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat.

"Ketika itu kami semua sedang tidur. Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat. Saya kejut isteri dan saya lihat enjin kereta BMW terbakar dan ada api di tingkat bawah rumah.

"Tidak lama kemudian satu lagi letupan kuat berlaku. Kami kejut semua anggota keluarga dan buat keputusan untuk keluar ke pintu belakang dan terus menghubungi pihak bomba," katanya kepada Harakahdaily.

Harakah Daily

Tiada ulasan: