03 Februari 2012

Setiausaha Agung PBB kena baling kasut

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PENDUDUK Palestin mengerumuni kenderaan yang membawa Ban. Gambar bawah, perusuh membaling kasut ke arah konvoi membawa Ban ke Gaza, kelmarin.
Warga Gaza marah Ban gagal bantu tahanan Palestin

GAZA: Keluarga beberapa tahanan Palestin di penjara Israel membaling kasut ke arah konvoi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masuk ke Gaza awal pagi kelmarin.

Keluarga tahanan terbabit berkumpul di lintasan Erez. Mereka juga dituduh cuba menyerang kenderaan yang membawa Ban tetapi disekat anggota polis Palestin.
Sekurang-kurangnya dua daripada mereka membaling kasut ke arah kereta yang membawa Ban, tindakan menghina pemimpin itu seperti dilakukan wartawan Iraq terhadap Presiden Amerika, George W Bush dalam sidang akhbar di Baghdad pada 2008.

Penunjuk perasaan itu berkata, mereka kecewa dengan agenda lawatan ke-3 Ban ke Gaza yang tidak membabitkan sebarang pertemuan dengan keluarga mangsa tahanan Israel.

Aktivis membawa sepanduk menyalahkan masyarakat antarabangsa kerana tidak mengutuk penahanan ahli perundangan Palestin selain sekatan rejim Yahudi terhadap Gaza.

“Kami datang ke sini sebagai memberi mesej simbolik kepada Ban bahawa penduduk Palestin di Gaza mahu hak melawat anak mereka di penjara Israel,” kata Jamal Farwana, jurucakap keluarga tahanan Gaza.

“Beliau sepatutnya berusaha untuk membebaskan tahanan dan kami tertanya-tanya mengapa beliau mengelak berjumpa keluarga tahanan Palestin setiap kali datang ke sini.”

Israel menutup laluan keluar masuk ke Gaza selepas pergerakan Hamas mengambil alih wilayah itu pada 2007.

Ban kemudian menuju ke Gaza bagi merasmikan tapak perumahan Agensi Kerja dan Bantuan PBB (UNRWA) yang dibina beberapa tahun lalu.

Projek itu terganggu seketika sebelum disambung selepas beberapa peraturan pemanduan tidak dilaksanakan pada 2010.

Menghabiskan masa beberapa jam di Gaza, Ban tidak dijangka bertemu pegawai Hamas.

PBB pula adalah antara anggota perunding damai Asia Barat yang termasuk Amerika, Kesatuan Eropah dan Russia.

Empat negara itu baru-baru ini mencadangkan rundingan sebanyak enam kali di antara perunding Israel dan Palestin bagi menggerakkan semula usaha damai yang buntu sejak 2010.

Israel menahan 7,000 tahanan Palestin. Sanak saudara tahanan dari Gaza tidak dapat melawat mereka di mahkamah sejak 2006 kerana peraturan ketat ke atas warga Gaza yang mahu memasuki wilayah ditakluki Israel. – Agensi

1 ulasan:

ariffin berkata...

padan muka..malaysia bila lagi