26 Mac 2012

Polis tahan 42 orang di pusat perjudian tiga tingkat

3 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menahan 42 orang, termasuk 11 warga asing serta merampas 184 mesin judi berkomputer dan wang tunai RM3,837 dalam satu serbuan di pusat perjudian di Jalan Puchong Mesra, Puchong, dekat sini petang semalam.

Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, ASP Loi Yew Lik berkata dalam operasi mulai pukul 5.30 petang polis menahan 35 lelaki dan tujuh wanita berumur antara 20 hingga 60 tahun yang merupakan pelanggan dan penjaga premis pusat perjudian haram itu.

Beliau berkata, 11 warga asing itu, yang terdiri daripada lapan lelaki dan tiga perempuan warga Myanmar dan Indonesia, merupakan penjaga premis pusat perjudian itu yang terletak di dalam bangunan kedai empat tingkat.

Hasil siasatan polis mendapati kesemua warga asing itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata penangkapan itu dibuat hasil pemantauan polis dan maklumat orang awam, di mana pusat perjudian itu berselindung di sebalik perniagaan kafe
siber.

Pusat judi itu beroperasi di sebuah bangunan empat tingkat dan hanya tiga tingkat sahaja yang digunakan sebagai pusat perjudian," katanya.

Loi berkata, pusat itu mula beroperasi sejak dua tahun lepas dan pernah diserbu polis pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata, tingkat kedua premis tersebut dijadikan bilik VIP bagi golongan yang berjudi RM1,000 ke atas.

"Kafe siber tersebut menjalankan perniagaan secara terbuka dan tiada had untuk menerima pelanggan untuk berjudi di situ," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Pudu untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka
1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun.

Beliau berkata, operasi tersebut disertai tiga pegawai dan 16 anggota unit D7 Bukit Aman. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: