26 Mac 2012

Wanita Iraq di San Diego dipukul teruk meninggal dunia

3 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SAN DIEGO - Seorang wanita Iraq, yang cedera parah dan ditinggalkan satu nota memintanya agar balik ke negara asal minggu lalu, meninggal dunia semalam.

Shaima Alawadi, ibu berusia 32 tahun dan mempunyai lima anak, mengembuskan nafas terakhir semalam, kata Council on American Islamic Relations (CAIR), sebuah organisasi yang memperjuangkan kebebasan sivil bagi Muslim.

Dia dibekalkan dengan alat sokongan pernafasan sejak Rabu lalu setelah dicederakan di rumahnya.

Mangsa ditemui oleh anak perempuannya di bilik tidur di rumah mereka di El Cajon, San Diego.

"Siasatan peringkat awal menunjukkan, satu nota berbaur ugutan ditemui berhampiran dengan tempat mangsa ditemui," kata pegawai polis El Cajon, Lt. Mark Coit.

Pihak berkuasa tidak dapat mengatakan kandungan nota itu.

Bagaimanapun menurut anak perempuan Shaima, nota itu meminta mereka kembali ke Iraq selain memanggil mereka sebagai "pengganas."

Menurut polis, nota yang serupa ditinggalkan di luar rumah mereka awal bulan ini, tetapi keluarga itu tidak membuat laporan.

"Seminggu yang lalu, mereka meninggalkan satu surat yang mengatakan 'ini negara kami, bukan anda punya, anda pengganas," kata Fatima Al Himidi kepada KGTV.

Hanif Mohebi, pengarah eksekutif CAIR cabang San Diego berkata, keluarga itu berhijrah ke Amerika Syarikat pada pertengahan 1990-an.

Pasangan itu mempunyai tiga anak perempuan dan dua lelaki berusia antara lapan dan 17 tahun.

El Cajon antara kawasan yang mempunyai ramai orang Iraq.

Fatima berkata, tiada barang yang hilang dari rumah mereka dalam kejadian itu.

Oleh itu, dia percaya kejadian ini bermotifkan kebencian.

"Mengapa anda mengambil emak saya daripada saya? Anda mengambil seorang kawan baik saya daripada saya," katanya dengan menitiskan air mata.

Sinar Harian

Tiada ulasan: