26 Mac 2012

Popovic disingkir, Mandjou kembali

3 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) akan menghantar jawatankuasa pemilihan ke India hujung bulan ini bagi menilai prestasi bekas ayam tambatan mereka iaitu Keita Mandjou yang kini beraksi dengan Pune FC.

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pemain kelahiran Guinea itu telah menghubungi salah seorang pegawai persatuan menyatakan kesudiannya untuk pulang semula menyertai Perak.

“Walaupun Mandjou masih mempunyai kontrak bersama Pune FC sehingga bulan Jun ini, tetapi beliau menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dan menyatakan Sukad Seladang menjadi pilihan utamanya.

“Tetapi apa pun keputusan akan bergantung kepada laporan pegawai teknikal yang ke India hujung bulan ini bagi menyaksikan perlawanan yang melibatkan Mandjou yang dijadual 1 April ini,” katanya kerana Mandjou sepatutnya menyertai empat pemain import lain berlatih dengan pasukan Perak bulan ini, tetapi tidak dapat hadir di saat akhir kerana terpaksa membuat persiapan untuk satu perlawanan penting yang lain.

Mandjou berusia 32 tahun mengikat perjanjian dengan pasukan Perak pada September 2004 dan meninggalkan pasukan pada 2007 disebabkan masalah keluarga.

Sementara itu, Zainol berkata, pemain import dari Serbia, Lazar Popovic akan digugurkan dari skuad Seladang selepas Pafa mendapatkan pemain import lain.

“Surat bagi menamatkan kontrak beliau sedang diuruskan dan jawatankuasa pengurusan sedang mencari pemain import baru bagi memenuhkan kuota yang dibenarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: