13 April 2012

3 pemuda tak sempat pasang iklan ah long

21 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BUKIT BERUANG - Rangkaian pinjaman wang tanpa lesen oleh ah long berjaya dibanteras polis, selepas menahan tiga pemuda yang sedang memasang banting iklan pinjaman wang di Pulau Gadong, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Superintendan Soh Hock Sing berkata, ketiga-tiga mereka berusia 24 hingga 28 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu oleh anggota JSJK dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), kira-kira jam 10.30 pagi.

“Ketiga-tiga suspek yang berasal dari negeri ini, Johor dan Selangor itu ditangkap di kawasan perumahan di Pulau Gadong ketika sedang memasang banting iklan, semalam (kelmarin).

“Kami percaya suspek baru hendak bertapak di Melaka dan penahanan mereka sekurang-kurangnya dapat memutuskan rangkaian aktiviti haram daripada berleluasa di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dan 289 banting yang terdapat di dalam kenderaan terbabit.

“Polis turut merampas semua banting yang memenuhi tempat duduk belakang dan ruang menyimpan barang di bahagian belakang.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan 2011) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Hock Sing menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pinjaman wang.

“Mana-mana individu yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak dalam kegiatan ini, apabila ditangkap boleh disiasat mengikut seksyen yang sama,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: