09 Mei 2012

7 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Tualang Banggu, Binjai dekat sini, musnah sekelip mata dalam kebakaran, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, empat daripada ahli keluarga terbabit yang berehat dikejutkan dengan api yang marak bermula dari bahagian dapur mereka.

Mangsa, Mohd Rosli Zulkafli, 35, berkata, ketika kejadian dia menebang buluh di belakang rumahnya manakala, isterinya, Rosmawati Bongsu, 34, dan anak bongsunya, Hanif Haikal, 5, menonton televisyen di ruang tamu sementara tiga lagi anaknya berada di sekolah.

Mohd Rosli yang bekerja sebagai buruh itu menyedari kebakaran terbabit apabila mendengar ibu mertuanya, Hamidah Yassin, 50, menjerit meminta tolong sambil berlari keluar menyelamatkan diri masing-masing.

“Terkejut dengan jeritan itu, saya terus berlari masuk ke dalam rumah dan melihat ada api sudah marak pada enjin mengepam air yang terletak di dapur kami.

“Saya cuba memadam kebakaran tetapi tidak berdaya dan saya berlari keluar mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung tetapi rumah kami gagal diselamatkan juga kerana api marak dengan cepat ,” katanya ketika ditemui semalam.

Akibat kejadian itu, tangan kanan Mohd Rosli turut melecur dan dia mengesyaki kebakaran yang memusnahkan rumah mertuanya itu berpunca daripada enjin mengepam airnya sering rosak dan kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zainuddin Senawi, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.13 petang dan 16 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika sampai rumah tersebut hangus dan kita mengambil masa 10 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran. Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: