09 Mei 2012

Anggota Geng Yo Panching didakwa

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Dua lelaki dipercayai anggota Geng Yo Panching termasuk seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas empat tuduhan mencuri dan memindahkan motosikal serta menyimpan harta curi.

Tertuduh, Mohamad Shahrul Safie, 22 serta rakannya, Sabaruddin Jarni , 22 (tentera) dari Perumahan Awam Kos Rendah Kampung Panching bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikemukakan secara berasingan oleh Pegawai

Pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin dan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Ahmad Nazari di hadapan Majistret Rini Triany Mohamad Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahrul didakwa secara berasingan atas dua tuduhan mencuri motosikal jenis Yamaha Y125ZR dan Honda EX5 masing-masing berharga RM4,000 di sebuah rumah Kampung Padang Perdana dan tempat letak motosikal, belakang sebuah pusat membeli belah di sini pada 25 dan 27 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga turut didakwa bersama Sabaruddin atas tuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana mengubah motosikal jenis Yamaha Y125ZR milik seorang wanita di Sungai Isap 2 kira-kira jam 6 petang 25 April lalu walaupun mengentahui motosikal itu sebagai harta curi.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh didenda.

Dalam mahkamah sama, Sabaruddin turut didakwa atas tuduhan menerima dan menyimpan barangan curi iaitu sepasang rim motosikal berharga RM200 .

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Masjid Bukit Rangin kira-kira jam 9.30 malam, 27 April sekaligus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000 setiap seorang manakala 8 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan seterusnya bagi kes terbabit.

Sebelum ini polis dalam satu sidang media memaklumkan berhubung penahanan lapan suspek dipercayai ahli “Geng Yo Panching” kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri motosikal di daerah ini.

Dalam sidang media itu, polis memaklumkan tiga motosikal iaitu jenis Yamaha 125 (2) dan Honda EX5 berjaya dirampas.

Sinar Harian

Tiada ulasan: