09 Mei 2012

Rahim Noor berdepan tindakan mahkamah

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka memfail saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor ekoran kegagalan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir”.

Semalam Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.

Pengerusi lajnah terbabit, Hisham Fauzi berkata, selepas peluang yang diberi untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf tidak dimanfaatkan, maka tindakan mahkamah perlu diambil.

“Tindakan saman juga akan dikenakan terhadap NST yang menyiarkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara terbabit kerana belum melakukan pembetulan.

“Saman itu dibuat atas nama Menteri Besar sendiri. Kita juga sudah berbincang dengan pasukan peguam Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat,” katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara terbabit dalam kenyataan seperti dilapor sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam berhubung kenyataan wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang ekoran peluang diberi semalam tidak dimanfaat sepenuhnya Rahim.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pemuda PAS Tanah Merah membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Laporan berkenaan dibuat Mohd Darulhisham Kamaludin mewakili Pemuda PAS Tanah Merah. Hampir 100 pemuda PAS Tanah dan AMK hadir bagi memberi sokongan, turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani.

Petang semalam laporan serupa dibuat Pemuda PAS Pasir Puteh.

Manakala Pemuda PAS Negeri Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Rahim dan menyifatkan bekas ketua polis itu seperti hilang kewarasan dan pertimbangan akal.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sindrom hilang akal dan kewarasan seperti itu bukan perkara baru kerana Rahim pernah disabitkan kesalahan kerana menumbuk Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bekas timbalan perdana menteri itu ditahan pada 1998.

“Jika pada masa itu beliau masih Ketua Polis Negara boleh hilang pertimbangan, maka tidak menjadi perkara pelik sekiranya kehilangan pertimbangannya berulang kembali.

“Dalam hal ini mungkin Rahim tidak dapat membezakan istilah wajib yang disebut Tuan Guru Nik Aziz dan perbezaannya dengan wajib syarie di sisi agama.

“Wajib yang disebut Menteri Besar bukanlah bererti bahawa jika tidak dilakukan jatuh kepada hukum haram tetapi hanyalah sebagai gesaan kepada rakyat menuntut pilihanraya yang adil,” katanya.

Harakah Daily

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

memang patut di heret kemahkamah kerana memang biadap orang seperti ini apakah ia alim tentang alquran sehingga sanggup perkataan itu terhadap ulamak,ingatlah kematian kamu akan disoal nanti ,apkah kamu tak mengaji ke ,jangan humbankan dirimu kedalam neraka jahanam. dah kerja tempat haram macam tu nak cakap soal agama pula elokpi dok kejabatan perdana menteri eloklah tu

Tanpa Nama berkata...

isy isy isy..dah buang tebiat..