09 Mei 2012

Malaysia di sisi betul jika iktiraf Bersih 3.0

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Malaysia boleh berada di sisi yang betul di dalam sejarah jika kerajaan mengiktiraf penyokong Bersih 3.0 bukanlah musuh negara ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin (gambar).

Beliau berkata, keganasan polis menyerang rakyat Malaysia pelbagai kaum, bangsa, warna kulit, bahasa dan agama di perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu memberi petunjuk yang jelas bahawa Umno berada pada sisi yang salah di dalam sejarah (on the wrong side of history).

"Bagi kita, Malaysia hanya boleh bergerak ke arah 'kedudukan betul (di dalam) sejarah' jika kerajaannya mengetahui dan mengiktiraf bahawa rakyat seperti penyokong Bersih 3.0 tempoh hari adalah sebenarnya kekuatan kepada negara ini dan bukannya musuh negara ini," tegas beliau.

Hanipa yakin, dengan izin Allah, masa hadapan negara ini akan didirikan oleh rakyat yang mempunyai jiwa seperti penyokong Bersih 3.0 yang berhimpun secara aman pada 28 April yang lalu.

"Rakyat seperti itulah yang tidak pernah putus asa mencari sinar keadilan, persamaan dan kebebasan untuk dikecapi dan dinikmati keseluruhan rakyat di negara ini," katanya.

Beliau menyifatkan alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyalahkan tindakan penganjur Bersih menolak tawaran berhimpun di Stadium Merdeka sebagai punca kepada kegawatan sebagai alasan yang terlalu naif untuk seorang Perdana Menteri.

"Alasan kamu tersebut mengigatkan kami kepada filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P.Ramlee.

"Hanya kerana adinda bongsu Abdul Wahub memprotes keputusan dua kekandanya yang enggan menghantar ayahanda mereka ke hospital (supaya ayahanda mereka cepat mati dan mereka boleh membolot segala harta) Abdul Wahub dinafikan oleh kedua-dua kekandanya segala harta ayahandanya di dalam negeri Istambola.

"Nampaknya begitulah logik Perdana Menteri," kata Hanipa.

Mengikut logik Najib, katanya, hanya kerana penganjur Bersih enggan menerima keputusan kerajaan untuk berhimpun di stadium, tidaklah salah bagi polis melakukan tindakan ganas ke atas mereka yang berhimpun dalam perhimpunan ratusan ribu rakyat itu.

"Kita ingin katakan pada Perdana Menteri bahawa isunya bukan keengganan berhimpun di stadium.

"Sebaliknya isunya mengapa rakyat dilarang untuk duduk bantah secara aman hanya untuk tempoh dua jam di Dataran Merdeka.

"Sejak bila duduk bantah secara aman dikira satu tindakan jenayah sehingga polis perlu dapatkan perintah mahkamah untuk melarang rakyat duduk membantah," kata Hanipa lagi.

Beliau yakin, sebenarnya keganasan polis amat tidak perlu dalam peristiwa itu.

"Jika rakyat dibenarkan berhimpun secara aman di Dataran Merdeka, apa perlu polis ditugaskan di sana pada tarikh dengan jumlah yang ramai?" beliau mempersoalkan.

Hanipa mengingatkan, tugas rasmi polis ialah menentang penjenayah dan "bukan menjadi penjenayah dengan bertopeng uniform polis".

"Sedarlah Najib dan Umno hari di mana kamu menjadikan rakyat yang menyokong Bersih sebagai musuh kamu adalah hari di mana kerajaan kamu mula menghitung saat kehancurannya," beliau mengingatkan.

Keganasan polis ke atas rakyat yang berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 itu terus menjadi isu yang semakin diperkatakan berikutan semakin tersebarnya gambar-gambar dan rakaman-rakaman berkaitan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: