09 Mei 2012

‘Saya hanya nasihat, tapi saya pula kena pukul'

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Akibat prihatin terhadap seorang warga emas, Ahmad Nazri Mat Jam, 42, dipukul, diterajang dan dipijak hampir 10 anggota polis ketika perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Beliau yang ketika itu berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman, cuba menenangkan sekumpulan anggota polis agar tidak melakukan sebarang kekerasan terhadap warga emas dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, tindakannya itu mendatangkan kemarahan anggota polis yang kemudiannya bertindak mengasari beliau hingga terjatuh di jalan raya.

"Ketika itu polis sudah mula mengejar peserta-peserta Bersih 3.0. Saya nampak beberapa orang tua dan kanak-kanak di situ, dan meminta pihak polis bertenang, sebaliknya saya yang kena," dakwa beliau kepada Harakahdaily.

Mengimbas kembali insiden pada hari tersebut, Ahmad Nazri berkata pada mulanya beliau dipukul dan ditolak hingga terjatuh dan hanya mampu melindungi wajahnya dari kecederaan yang lebih teruk.

"Setelah dibangunkan dan digari dengan gari plastik, saya kemudiannya terus dipukul oleh anggota polis yang berdiri di sisi jalan hingga ke trak yang membawa saya ke tempat tahanan," jelas beliau yang bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Bagaimanapun, setelah hampir seminggu insiden itu berlalu, beliau berasa sakit-sakit dan sengal-sengal di beberapa bahagian badan, khususnya di bahagian kaki.

Bapa kepada dua orang anak ini juga membuat laporan polis, selain ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan pada keesokkan harinya.

Kunjungan Harakahdaily ke kediamannya di Ampang, petang semalam mendapati matanya masih lebam, biarpun kesan bengkak lain di mukanya sudah mula sembuh.

Ketika ditanya sama ada beliau serik untuk menyertai mana-mana himpunan selepas ini, dengan tegas beliau berkata perjuangan bagi menuntut hak wajib diteruskan.

"Saya menyertai Bersih, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, dan beberapa himpunan lain sebelum ini. Ini kali pertama saya dipukul, dan saya tidak akan serik kerana bagi saya ini adalah perjuangan bagi menuntut hak sebagai rakyat Malaysia," tegas beliau yang juga peniaga air minuman di beberapa lokasi ceramah dan himpunan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: