09 Mei 2012

Banjir di Thailand punca kemerosotan

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

FRASER & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mencatat perolehan RM1.47 bilion pada separuh tahun pertama berakhir 31 Mac 2012, susut 28 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Datuk Ng Jui Sia berkata, syarikat menjangka perolehan lebih rendah berikutan­ pemberhentian perniagaan Coco-Cola, selain bencana alam di Thailand mengakibatkan kerosakan teruk di kilang pengeluaran sekali gus menyebabkan kerugian terhadap pengeluaran dan jualan.

“Jika sumbangan Coca-Cola RM269 juta dikecualikan, perolehan Kumpulan susut 17 peratus sahaja berikutan kehilangan pendapatan­ di Thailand. Catatan jualan Dairies Malaysia lebih rendah disebabkan volum tahun lalu meningkat akibat jualan memberangsangkan sebelum berlakunya peningkatan harga dan ketiadaan jualan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, di sebalik pelbagai cabaran itu, segmen minuman ringan berjaya mencatatkan peningkatan perolehan­ lapan peratus.

Peningkatan itu adalah hasil daripada jualan minuman­ 100Plus meningkat 11 peratus susulan jualan berterusan pasca Tahun Baru Cina, pertumbuhan enam peratus dalam rangkaian minuman jenama Seasons dan jualan Red Bull melonjak 29 peratus.

Catatan perolehan terus meningkat dengan penerokaan pasaran Brunei serta anugerah kontrak pembungkusan untuk eksport kepada syarikat berkaitan Kumpulan di Singapura.

Katanya, pada masa ini, Kumpulan mengharungi tempoh paling mencabar dalam menempa kejayaan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan asas kukuh dan di sebalik kejadian bencana alam, ia menggerakkan Kumpulan untuk melangkau saingan dalam pasaran.

“Kumpulan turut menjangka kilang Rojana di Thailand akan menyambung semula pengeluaran kapasiti sepenuhnya dalam tempoh separuh kedua tahun kewangan­ untuk memenuhi jurang inventori di negara itu,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: