03 Mei 2012

Gadis menangis terjun sungai

11 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

OPERASI...usaha mencari remaja terbabit di Sungai Johor berhampiran Kompleks Pasar Awam Kota Tinggi.

KOTA TINGGI: “Saya terkejut melihat gadis itu terjun dan saya menjerit memintanya kembali ke tebing sungai.

“Namun, tidak lama kemudian, saya dan beberapa penduduk melihatnya terkapai-kapai dan tenggelam timbul sebelum hilang dari pemandangan,” kata pekerja pasar raya, Osman Abdullah, 54, semalam.

Osman berkata, kejadian itu berlaku jam 2.35 petang di Sungai Johor apabila dia yang berehat di sebuah astaka di situ terlihat seorang gadis berkulit cerah berjalan di air cetek sungai berkenaan seorang diri.

Menurutnya, pada awalnya dia dan beberapa penduduk menyangka gadis itu mahu mandi sungai, namun terkejut melihatnya terus berjalan di air cetek.

“Saya difahamkan beberapa penduduk melihat gadis itu menangis berlari ke sungai sebelum terjun di situ.

“Namun, air surut ketika itu, gadis yang berbaju berwarna putih dan berseluar pendek berjalan di air cetek sebelum hilang,” katanya yang menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, seorang lelaki mengesyaki mangsa yang hilang di sungai itu anak perempuannya berusia 16 tahun tampil ke tempat kejadian bersama isterinya.

Lelaki itu, Liew Yoon Seng, 40, berkata anak perempuannya, Lee Man Ling yang belajar di tingkatan tiga didapati menghilangkan diri dari rumah.

Menurutnya, anak perempuannya itu juga gagal hadir ke sekolah, semalam.

“Saya bimbang dengan keselamatan anak sekiranya mangsa yang dikatakan terjun itu Man Ling.

“Kami berdoa supaya dia selamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan gerakan mengesan mangsa dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat petang semalam.

Menurutnya, bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mangsa terjun ke sungai terbabit mahu pun terdapat apa-apa unsur jenayah.

“Kami akan terus menjalankan usaha mengesan mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

mtfro/-

Tiada ulasan: