28 Mei 2012

PAS kutuk pembunuhan rakyat Syria

7 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai rakyat Syria oleh rejim Bashar Al Assad kelmarin.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) berkata pembunuhan itu merupakan episod hitam dalam sejarah umat manusia, apabila nyawa rakyat dipertaruhkan semata-mata untuk mempertahankan kuasa.

"Ia merupakan satu hari kesedihan buat kami di Malaysia dan di seluruh dunia.

"Oleh itu kerajaan Bashar Al Asaad mesti bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai tersebut dan mereka tidak boleh lepaskan tangan dengan menuding kepada pihak lain," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, konflik berdarah yang berlaku di Syria tidak akan selesai, selagi mana pihak yang bertanggungjawab terus menerus menggunakan persenjataan untuk bertindak.

Mereka perlu menghentikan segera penindasan, kezaliman dan kekerasan dan mengembalikan hak kepada rakyat untuk menentukan pemerintah mereka secara adil, kata presiden PAS itu.

"Kita juga mendesak supaya satu siasatan bebas dipelbagai peringkat diadakan, bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan untuk dihakimi segera.

"Kita tidak mahu nyawa rakyat melayang lebih banyak lagi dan jika terus berlaku, ia suatu yang mendukacitakan," tegasnya.

Kelmarin seramai 92 orang termasuk 32 kanak-kanak terbunuh dalam serangan ke atas bandar Houla, dipercayai dilakukan tentera rejim Bashar.

AFP melaporkan insiden letupan dan tembakan kedengaran di Houla, 200 kilometer dari utara Damsyik sejurus pasukan pemerhati tiba di bandar itu.

Pembunuhan beramai-ramai itu merupakan satu daripada kejadian terburuk berlaku di Syria selepas 15 bulan kebangkitan rakyat negara tersebut menentang kerajaan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: