28 Mei 2012

Dakwa tanah diceroboh

7 Rejab 1433H. [MOD] -

BAGAN SERAI – Penduduk di Parit Ali Kalang Teluk Medan, di sini menggesa pihak berkenaan mengkaji semula cadangan pembangunan sebuah pencawang elektrik di kawasan itu.

Rata-rata penduduk yang ditemui mahu, siasatan terperinci berkaitan cadangan itu dibuat berikutan bimbang, pencawang berkenaan bakal menimbulkan risiko lain terutama kepada petani.

Seorang petani, Khidir Hashim, 48, berkata, pembinaan pencawang di kawasan pertanian itu bakal menyebabkan petani kehilangan nilai aset tanah untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, kewujudan pencawang itu juga berkemungkinan membataskan aktiviti petani lain terutama mereka yang berhasrat untuk mendirikan sarang burung walit.

“Sebagai pesawah, aktiviti pertanian kita akan terbatas, mungkin ada antara kami yang bimbang bahaya pencawang ini terutama apabila musim hujan.

“Takut-takut ia boleh meragut nyawa petani,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan, pembinaan pencawang berkenaan di atas tapak tanah petani juga dibuat tanpa keizinan pemilik tanah.

Tinjauan yang dibuat ke kawasan itu mendapati, sudah ada kain rentang yang dipasang tanda protes penduduk terhadap cadangan berkenaan.

Mengesahkan perkara itu Khidir berkata, tanah miliknya seluas hampir 0.4 hektar turut termasuk dalam tapak pembinaan pencawang berkenaan.

Katanya, jika hasrat pembinaan pencawang itu mahu diteruskan, perbincangan lanjut termasuk bayaran pampasan yang perlu diterima petani terlibat perlu dibuat.

“Janganlah mengambil sesuatu yang bukan hak mereka, kami petani yang terpaksa menanggung kerugian itu.

“Perkara ini bukan perkara baru, sebelum ini saya sudah membuat rayuan dan tuntutan kepada Pejabat Daerah dan Tanah, namun setakat ini belum ada sebarang maklum balas,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: