28 Mei 2012

Cemas diacu pisau pemotong daging

7 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Kelemak, dekat sini terkejut didatangi seorang lelaki yang menyamunnya menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

(Lakonan semula situasi Muhammad Iqbal disamun lelaki bertopi bersenjatakan
pisau pemotong daging.)

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Muhammad Iqbal Amdan, 20, didatangi seorang lelaki bertopi dan berkaca mata hitam masuk ke kedai serbaneka itu dan berlegar-legar sebelum keluar dari kedai berkenaan.

Menurutnya, beberapa minit kemudian lelaki itu masuk semula ke kedai dan membeli kad tambah nilai prabayar bernilai RM5 namun bertindak melengahkan urusan pembayaran.

"Secara tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dari sisi seluarnya dan mengacu ke arah saya sambil mengugut saya memberikan wang.

"Dalam keadaan panik saya memberikan kesemua wang bernilai RM153 sebelum diarahkan duduk di lantai kedai," katanya.

Muhammad Iqbal berkata, lelaki itu kemudiannya tergesagesa keluar menaiki kereta Proton Saga Aeroback berwarna biru gelap yang diparkir di hadapan kedai dan menuju ke arah Lebuhraya Alor Gajah- Melaka Tengah Jasin.

"Dalam ketakutan saya sempat bangun dan mencatat nombor pendaftaran kereta yang dinaiki lelaki berkenaan.

"Saya terus memaklumkan kepada pengurus sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) sejurus selepas kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, suspek berjaya dikesan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah 15 minit selepas laporan dibuat di Simpang
Ampat, di sini, kira-kira jam 3.40 petang.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat, suspek berusia 24 tahun itu berada di rumahnya bersama bapanya menonton televisyen sebelum suspek sendiri membuka pintu dan terkejut sebaik melihat kedatangan polis berhubung kejadian samun berparang itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, wang bernilai RM50 masih berada dalam dompet suspek, sebilah pisau pemotong daging bersebelahan dashboard kereta dipercayai digunakan untuk menyamun mangsa dan topi yang dipakai ketika menyamun di kedai serbaneka terbabit.

"Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Alor Gajah untuk siasatan dan ditahan reman selama lima hari sehingga Rabu ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: