28 Mei 2012

Wan Ahmad angkuh tolak kajian Merdeka Center

7 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menolak hasil kajian Merdeka Center sebagai angkuh.

Dalam kajian tersebut menyatakan bahawa hampir separuh pengundi tidak percaya pada pemilihan proses pilihanraya di Malaysia.

“Seharusnya Timbalan Pengerusi SPR tersebut berterima kasih di atas kajian tersebut yang mana ianya suatu 'check and balance' kepada SPR,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar).

Katanya, SPR kini menghadapi situasi yang mana kepercayaan rakyat kepada institusi tersebut semakin terhakis.

Menurutnya, beberapa insiden seperti isu kad pengenalan sementara, daftar pemilih ragu, pengundi hantu telah meletakkan SPR bukan lagi suatu badan yang boleh dipercayai dan ketelusan SPR dalam menguruskan pilihanraya semakin diragui.

Beliau berkata, SPR juga dilihat ingin menegakkan benang yang basah dalam mempertahankan segala tindakannya yang dilihat berat sebelah.

“Kajian Merdeka Center ini sepatutnya dijadikan muhasabah buat SPR kerana inilah suara respons rakyat Malaysia terhadap badan pengurusan pilihanraya ini dan bukannya menolak mentah-mentah,” katanya kepada Harakahdaily.

DPPWP juga, ujar beliau berasa kesal dengan tindakan Wan Ahmad yang memandang lekeh terhadap sampel kajian tersebut, ianya seolah-seolah menghina rakyat Malaysia dan sekaligus memandang rendah suatu kajian ilmiah.

“Apakah beliau benar-benar tidak ingin melaksanakan proses pilihanraya dengan bersih dan adil?

“Apakah SPR ingin terus memekakkan telinga dan melaksanakan pilihanraya mengikut acuan kerajaan Umno BN?” soal Kamaruzaman.
Katanya, persoalan-persoalan itulah yang terus bermain di fikiran rakyat Malaysia sekiranya SPR terus bersikap demikian.

Harakah Daily

Tiada ulasan: