28 Mei 2012

Masakan Palestin buka rezeki

7 Rejab 1433H. [MOD] -

JEMPOL- Setelah hampir dua tahun berhijrah ke negara orang, anak bongsu daripada empat beradik ini nekad membuka perniagaan sendiri berasaskan makanan Palestin bersama suaminya.

Nurazizarin Kuswair Abd Aziz, 31, bersama suami, Raed Awad, 52, membuat keputusan itu setelah lima bulan gagal mendapat pekerjaan di sini.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Nurazizarin pada awalnya tidak begitu yakin untuk membuka restoran yang menyediakan masakan dari Palestin dan Timur Tengah di Bandar Seri Jempol (BSJ).

Bagaimanapun, menurut anak kepada bekas anggota polis ini, dia tidak sesekali putus asa malah yakin rezeki berada di mana-mana asalkan berusaha.

“Mujur suami yang berasal dari Palestin ini mahir dalam bidang masakan, walaupun selama hampir 28 tahun dia berhijrah ke Amerika Syarikat dan bekerja sebagai Imam.

“Alhamdulillah, ibu dan bapa kami banyak membantu dan memberi sokongan sejak kami mula berniaga di sini pada hujung tahun lalu.

“Namun, setakat ini, kami hanya menyediakan perkhidmatan katering untuk 500 orang sahaja.

“Setakat ini, kami hanya menyediakan perkhidmatan katering untuk 500 orang sahaja atas sebab-sebab tertentu,” katanya yang turut berhasrat mengembangkan lagi perniagaannya kelak.

Menceritakan pengalaman di sebalik penghijrahan mereka di sini, Nurazizarin berkata, dia dan suami berhasrat membesarkan anak mereka, Ibraheem, 11 bulan di kampung kelahirannya (BSJ) memandangkan cabaran besar di luar negara.

“Terlalu besar cabaran bagi kami untuk membesarkan anak di sana (Amerika Syarikat), jadi suami bersetuju untuk menetap di Malaysia dan meninggalkan kariernya sebagai Imam,” katanya.

Namun katanya, suaminya, Raed yang berkelulusan dalam bidang Sarjana Pendidikan dari Universiti Madinah tidak terus mengalah untuk mendapat pekerjaan di negara ini.

Menurut Raed, restoran yang diusahakan bersama isterinya itu diberi nama Shawerma Station yang menyediakan lebih 50 jenis makanan dan minuman termasuk air Laban (Ice blanded yogurt) serta lapan jenis nasi dari negara berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: