25 Jun 2012

Kes pecah rumah berleluasa

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

ROMPIN – Penduduk sekitar Tanjung Gemok, di sini, bimbang ekoran kejadian pecah rumah dan samun yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Chia Poh Hin, 60, berkata, dia terpaksa memperketat kawalan keselamatan di rumahnya berikutan rumah teres dua tingkatnya itu pernah dimasuki pencuri hingga menyebabkan dia mengalami kerugian RM10,000. Menurutnya, penduduk juga membuat aduan kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu dan berharap agar ada tindakan diambil pihak berwajib dalam membendung isu tersebut.

“Kawasan perumahan ini kerap berlaku kes pecah rumah dan saya minta pihak berwajib supaya meningkatkan lagi tahap keselamatan,” katanya.

Poh Hin berkata, jika jenayah tidak ditangani segera, penduduk akan dihantui perasaan takut berpanjangan kerana terdedah kepada risiko bahaya rumah mereka dimasuki pencuri, apatah lagi ia dilakukan dengan terancang.

“Walaupun tahap keselamatan dipertingkatkan, penjenayah terbabit sungguh licik hingga boleh membuka pintu rumah dengan mudah dan seterusnya mengambil barangan berharga milik mangsa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Cha Chin Chew, 28, berkata, penjenayah juga semakin berani kerana mereka bukan saja masuk ke dalam rumah yang tiada penghuni, tetapi turut menyasarkan rumah yang berpenghuni. Chin Chew berkata, penduduk mengharapkan kediaman yang lebih selesa dan selamat untuk diduduki, namun kini, keselamatan mereka pula semakin terancam dengan kekerapan kes jenayah pecah rumah di kawasan itu.

Menurutnya, pihak berkuasa diminta agar dapat menjalankan rondaan dengan lebih kerap di kawasan itu terutama pada awal pagi kerana perbuatan itu sering dilakukan ketika penghuni rumah sedang nyenyak tidur.

“Kekerapan rondaan pencegahan jenayah diharap dapat mengurangkan risiko kecurian dan pecah rumah di kawasan itu selain tidak membuka peluang dan ruang kepada penjenayah untuk melakukan kegiatan tersebut,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: