25 Jun 2012

Lelaki kudung kaki panjat Kilimanjaro

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

GAMBAR pada 22 Jun menunjukkan lelaki kudung kedua-dua kakinya, Spencer West tiba di puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

MONTREAL, Kanada - Seorang lelaki yang kudung kedua-dua belah kaki berjaya menakluk puncak tertinggi di Afrika, Gunung Kilimanjaro, sekali gus menyangkal dakwaan beberapa doktor bahawa dia tidak akan dapat berfungsi dan menyumbang kepada masyarakat.

Spencer West, 31, hilang kakinya ketika masih kanak-kanak akibat penyakit genetik, sacral agenesis yang menyebabkan bahagian bawah badannya lumpuh.

Namun, warga bandar Toronto di Kanada itu tidak membiarkan kecacatan itu menghalangnya.

Dia tiba di puncak Kilimanjaro, pada ketinggian sekitar 6,000 meter dari aras laut, Selasa lepas.

"Mendaki Gunung Kilimanjaro merupakan perkara paling mencabar yang pernah saya lakukan, baik dari sudut fizikal atau pun mental.

"Namun, dengan berbuat demikian kita sedar betapa pentingnya untuk kita percaya kepada diri sendiri dan orang lain," kata West kepada agensi berita AFP dari Nairobi, Kenya.

"Saya memanjat menggunakan tangan. Ia memberi tekanan ke atas bahagian tersebut serta bahu saya," tambahnya.

Sepanjang pendakiannya, West ditemani oleh dua sahabat baiknya, David Johnson dan Alex Meers. Matlamat mereka adalah untuk mengumpul dana buat Free the Children, sebuah pertubuhan yang membekalkan air bersih kepada beratus-ratus orang di Kenya.

Kenya mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun pada 2011.

Misi itu berjaya mengumpul lebih AS$500,000 (RM1.59 juta) untuk pertubuhan amal tersebut.

Dia mendaki Kilimanjaro berkenaan pada Selasa lepas dan tiba di kemuncak gunung berkenaan tiga hari kemudian. - AFP

Tiada ulasan: