25 Jun 2012

Nik Aziz mahu semua ahli PAS tunjukkan 'gah'

5 Syaaban 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, ahli PAS kena tunjuk 'gah' terhadap kekuatan parti dengan menghadiri setiap Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya supaya Umno yang mentadbir negara ini merasa gerun.

(Himpunan Hijau di Padang Datuk Ahmad Badawi, Butterworth)

Beliau yang berucap secara langsung dari pejabatnya di Kota Darul Naim, Kelantan dan disalurkan melalui layar besar ke sini menambah, kekuatan itu sepertimana yang diterjemahkan menerusi solat.

Di mana dalam bersolat umat Islam diajar berdiri tegak dan mengikut langkah yang dilakukan oleh Imam yang bertindak sebagai ketua dalam berorganisasi.

"Parti kita kena tunjuk kekuatan yang menyeluruh kepada musuh politik supaya mereka yang mempunyai kekuatan wang ringgit dan media rasa gundah gulana bila berhadapan dengan jentera kita nanti," jelasnya.

Serupa juga ketika umat Islam berada di Mekah tambahnya, betapa rapatnya saf tanpa mengira warna kulit atau bangsa asalkan Islam semua boleh duduk dan mengerjakan haji dengan sempurna.

"Itu merupakan lambang kekuatan yang kita sendiri bina," kata Tuan Guru Nik Aziz.

Untuk mengelak fahaman yang sengaja ditimbulkan oleh golongan tertentu dengan tujuan mengelirukan kefahaman Islam PAS yang ditubuhkan bersandarkan Al Quran dan Hadith mesti bertindak cepat menghalang fahaman itu daripada terus melekat di hati remaja Islam di Malaysia.

Jika sesiapa menolak Islam bermakna mereka menolak Allah s.w.t yang menciptakan dunia ini maka sebagai jentera Islam PAS mesti berhadapan dengan golongan yang menentang Islam secara jelas.

"Tidak kira apa bangsa mereka sekali pun. Cina Muslim, India muslim, Asli muslim asalkan mereka Islam wajid hadir ke perhimpunan tersebut bagi menunjukan kesatuan kita yang tinggi, " tambahnya.

Hendak harapkan Umno kata beliau, ia agak mustahil kerana parti itu tidak langsung berminat untuk meningkatkan syariat Islam sebaliknya apa yang dilakukan sekadar lakunan semata demi mendapat sokongan orang Islam.

Selain Tuan Guru Nik Aziz menyampaikan ucapan menerusi lintas langsung ke Padang Datuk Ahmad Badawi, Butterworth itu Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berbuat demikian dari Mesir pada pukul 10.00 malam.

Harakah Daily

Tiada ulasan: