08 Jun 2012

Pembantu kedai curi beg tangan menantu Presiden Pas dipenjara

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai dipenjara seminggu dan didenda RM2,500, gara-gara mencuri beg tangan menantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tertuduh, Ahmad Muhaimin Mustafa, 20, yang berasal dari Kampung Seberang Baruh Kiri, di sini, juga berdepan hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda, setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 21 Mei lalu, kirakira jam 9.10 malam bertempat di dalam Kedai Nasi Arab Al-Fateh, Jalan Sultan Mahmud, telah mencuri beg tangan milik Farhaana Husainy Hasbullah, 32.

Beg tangan tersebut mengandungi barang bernilai kira-kira RM500, dan tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Tertuduh yang berpakaian lokap kemudiannya mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala pendakwaan dijalankan Inspektor Arrasyiddin Atcha.

Berdasarkan fakta kes, anak kepada Presiden Pas iaitu Muhammad Khalil Abdul Hadi, 35, yang juga seorang pensyarah berada di dalam Kedai Nasi Arab Al-Fateh, Jalan Sultan Mahmud pada 21 Mei lalu.

Kira-kira jam 9.10 malam, tiba-tiba datang seorang lelaki, yang kemudiannya terus mengambil beg tangan isterinya iaitu Farhaana yang diletakkan di atas meja makan.

Muhammad Khalil kemudiannya terus memegang baju lelaki tersebut dan berlaku pergelutan antara dia dan lelaki berkenaan.

Lelaki itu berjaya ditangkap dengan bantuan orang ramai. Orang awam kemudiannya telah menghubungi pihak polis dan Muhammad Khalil telah menyerahkan lelaki tersebut kepada polis.

Sinar Harian

2 ulasan:

JAKA berkata...

bodohnya pencuri itu.

pergilah curi cincin atau beg tangan kak mah .. ratus2 ribu dna juta2 tau

Tanpa Nama berkata...

Salam... yang anda kata bodoh itu ada ibubapa. Ibubapanya tentu sudah mengajar perkara yang betul, namun anak-anak zaman sekarang sukar nak di kawal. Bayangkanlah perasaan si ibu bila terbaca komen begini. Dan muat naik artikel ini di internet, sudah tentu memalukan keluarga mereka. Bayangkan kalau terkena batang hidung kita???