08 Jun 2012

Menteri UK pulau Euro 2012

18 Rejab 1433H. [MOD] -

LONDON - Anggota Kabinet United Kingdom (UK) memutuskan untuk memulau perlawanan-perlawanan kumpulan membabitkan England di Euro 2012 yang bermula hari ini.

Sebanyak 16 pasukan menyertai edisi empat tahun sekali ini. Kesemua 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan.

England diletakkan bersama Perancis, Sweden dan Ukraine.

Langkah itu diambil ekoran "keadilan selektif" ke atas pemimpin pembangkang Ukraine yang sedang dipenjarakan, Yulia Tymoshenko.

Laporan BBC menyebut, selain UK, beberapa negara Eropah lain iaitu Jerman, Belanda dan Austria juga mengugut akan memulau kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Ukraine dan Poland.

Duta Ukraine ke UK menekankan bahawa sukan dan politik tidak harus dicampuradukkan dan apa juga pendirian seharusnya dibangkitkan melalui ruang lain.

Minggu lalu, Tymoshenko mengakhir mogok lapar 20 hari selepas dipindahkan ke sebuah hospital di Kharkiv, di mana beliau dirawat oleh seorang doktor Jerman.

Pejabat Luar UK berkata, tiada pegawai akan menghadiri tiga perlawanan kumpulan dan kemungkinan akan menghadiri perlawanan-perlawanan seterusnya dengan mengambil kira jadual anggota Kabinet.

Ditanya mengenai tindakan memulau itu, Setiausaha Luar Britain, William Hague berkata, Ukraine berhadapan dengan masalah serius dan kerajaan UK tidak mahu kehadiran anggota Kabinetnya menyokong pasukan England dilihat sebagai memberi sokongan politik kepada Ukraine.

Sinar Harian

Tiada ulasan: