08 Jun 2012

Euro 2012: Medan Rusia tebus maruah

18 Rejab 1433H. [MOD] -

PASUKAN Rusia mahu memastikan misi menebus maruah dapat dilangsaikan dalam Kejohanan Euro 2012 selepas tumpas saingan separuh akhir Euro 2008 terutama selepas dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan A.

Optimis kemampuan pasukannya, pemain tengah Igor Shemshov menyifatkan pengalaman lalu banyak mengajar mereka bahkan barisan pemain sedia ada kalangan yang berpengalaman. "Dengan siri latihan dan aksi persahabatan yang dilakukan, corak permainan kami semakin baik dan jurulatih juga tahu apa yang perlu diperbaiki untuk pasukan.

"Sembilan puluh peratus daripada pemain adalah yang sama, jadi saya yakin kami lebih kuat berbanding 2008 kerana dalam kejuaraan lalu, kami bermain dengan sederhana, tetapi kini corak permainan kami sudah jauh berbeza," katanya yang menyifatkan Greece dan Republik Czech antara pasukan perlu diberi perhatian.

Bukan mahu mendabik dada, Shemshov mengakui pasukannya antara yang digeruni lawan selepas berjaya mempamerkan aksi konsisten di peringkat kelayakan dan Kejuaraan Eropah lalu. "Kami pasukan yang sepatutnya ditakuti lawan kerana hadir dengan keputusan cemerlang dan mempunyai peluang cerah untuk menang," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang Republik Czech hari ini bagi membuktikan ia menjadi titik tolak kemampuan pasukan untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: