08 Jun 2012

Enam sekeluarga terlibat nahas

18 Rejab 1433H. [MOD] -

JASIN – Enam keluarga terlibat dalam kemalangan di Kilometer 187 Lebuh Raya Utara - Selatan, di sini, awal pagi semalam, mengakibatkan seorang daripada mereka maut.

Manakala, dua daripada cedera parah dan dirawat di Hospital Melaka.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, keluarga terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Roza Isa, 32, isteri kepada pemandu kereta jenis Proton Wira berkenaan, Ermy Jeffri, 34.

Sementara, dua daripada empat anak pasangan itu berusia tujuh dan enam tahun cedera parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar, sebaik tiba melanggar pengadang jalan.

Pelanggaran itu mengakibatkan Roza tercampak keluar dari kenderaan dan dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kereta mereka masuk ke dalam longkang dan melanggar tebing cerun sebelum berpusing serta masuk semula ke lebuh raya dan terbakar," katanya.

Menurutnya, Ermy dan anak lelaki berusia tujuh tahun parah di perut, manakala seorang anak perempuan berusia enam tahun patah kaki.

"Dua lagi anak mangsa berusia dua dan 10 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Shahidi berkata, kesemua mangsa bernasib baik kerana sempat dibantu keluar oleh pengguna lebuh raya berkenaan sebelum kereta berkenaan terbakar.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat, sementara semua yang cedera dirawat di Hospital Melaka.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian

Tiada ulasan: