13 Julai 2012

Air percuma: Noh iktiraf projek Pakatan Selangor

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kenyataan Timbalan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang akan meneruskan projek air percuma di Selangor membuktikan pengiktarafan terhadap projek ini.

Sebelum ini pimpinan UMNO Selangor mengkritik keras dasar pemberian air percuma kepada rakyat dan menganggap tindakan tersebut akan memufliskan kerajaan negeri.

"Ternyata mereka kini telah mulai menerima hakikat bahawa dasar tersebut sememangnya memberikan manfaat besar kepada rakyat," kata satu kenyataan yang dikeluarkan AMK Selangor.

Semalam media melaporkan, Noh Omar berkata, BN akan menyambung pemberian air percuma kepada rakyat Selangor sekiranya berjaya menawan kembali negeri Selangor dalam PRU akan datang.

Kenyataan beliau ini jelas mengiktiraf pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi dasar Merakyatkan Ekonomi Negeri.

AMK Selangor mengalu-alukan kenyataan Noh Omar semalam yang mana secara tidak langsung menunjukkan bahawa UMNO semakin cenderung meniru idea serta dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat terutamanya dalam soal melibatkan kebajikan rakyat, kata kenyataan itu.

Justeru, AMK Selangor menyeru agar Noh Omar bersikap matang dan terbuka serta turut sama-sama membantu kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu-isu tertentu yang merumitkan kelancaran pelaksanaan dasar pemberian air percuma ini demi kebaikan rakyat Selangor seluruhnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: