13 Julai 2012

Pekerja Paycomm, Time piket mahu jumpa menteri

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas pekerja syarikat telekomunikasi Paycomm Network Sdn Bhd dan Time Dot. Com mengadakan piket di hadapan bangunan PWTC bagi menuntut satu pertemuan diadakan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S. Subramaniam bagi menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan mereka.

Menurut Ahli Jawatankuasa Bertindak Bekas pekerja Paycomm Network Norma Taharim pihaknya telah menyatakan hasrat untuk bertemu dengan menteri berkenaan malah beliau telah berjanji mengadakan pertemuan pada 5 Jun lalu tetapi ia dibatalkan.

"Kalau dapat jumpa lima minit pun kami tak kisah, janji dapat jumpa dengan menteri itu, kerana dia yang sepatutnya membela nasib kami," katanya.

Ekoran itu katanya, para pekerja bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan Subramaniam di Damansara selepas memaklumkan dalam satu surat yang difakskan ke pejabatnya pada 10 Julai.

"Dalam surat itu kita maklumkan untuk bertemu pada dan kita jelaskan semua bekas pekerja Paycomm dan Time Dot Com akan hadir," katanya ketika ditemui.

Malangnya kata beliau, kehadiran mereka seolah-olah dipermainkan apabila mereka dimaklumkan pejabat menteri berkenaan dipindahkan ke bangunan PWTC.

"Kami beramai-ramai ke PWTC untuk menyatakan hasrat kami berjumpa dengan menteri terbabit. Berbagai-bagai tindakan kami buat untuk menuntut hak kami sehinggalah kami terpaksa lakukan apa yang berlaku," katanya.

Katanya, dalam pertemuan pada 2 April 2012 Subramaniam berjanji akan berbincang dengan Khazanah Nasional atau Kementerian Kewangan supaya baki gaji dan faedah penamatan kerja dibayar jika sekiranya Paycomm masih di bawah GLC.

Bagaimanapun, katanya selepas Suruhajaya Sekuriti Malaysia mengesahkan Paycomm dan Time Dot Com adalah di bawah GLC, menteri terbabit sehingga kini enggan bertemu dengan mereka.

Seramai 546 bekas pekerja Paycomm Network Sdn Bhd dan Time Dot Com diberhentikan kerja ekoran syarikat mereka menghadapi masalah kewangan bagaimanapun syarikat enggan membayar gaji tertunggak dan pampasan kepada mereka.

Masalah ini berlarutan sejak Ogos 2010, di mana pada awalnya para pekerja terbabit diarahkan bercuti tanpa gaji.

Difahamkan, syarikat yang menguruskan telefon awam di seluruh Kuala Lumpur ini mengalami masalah kewangan sejak Telecom Malaysia menghentikan perkhidmatan telefon awam di bawah seliaan syarikat berkenaan akibat kegagalannya membayar bil kepada Telekom.

Syarikat Paycomm Network Sdn Bhd dahulunya dikenali sebagai Time Reach Sdn Bhd dan juga dikenali sebagai Uniphone Sdn Bhd sebelum itu.

Harakah Daily

Tiada ulasan: