13 Julai 2012

Inspirasi desak kerajaan gantung penyenaraian FGVH

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) secara tegas membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Bursa Malaysia dan mendesak supaya Kerajaan Malaysia menggantung penyenaraiannya.

Bantahan dan desakan ini adalah penting bagi menyelamatkan 112,635 orang peneroka Felda berserta 1.6 juta orang ahli keluarga mereka di 317 buah tanah rancangan Felda daripada mengalami kerugian, kehilangan hartanah dan menanggung beban hutang.

Pendirian Inspirasi berasaskan kepada perkara-perkara berikut:

1. Penyenaraian yang dibuat dengan menjaja slogan ‘demi peneroka’ membelakangkan tema “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” setelah hanya 2.5% saham diperuntukkan kepada peneroka daripada sejumlah 2.2 bilion unit saham FGVHB.Daripada jumlah tersebut, peneroka hanya mendapat 810 unit saham seorang. Jumlah ini adalah tersangat kecil berbanding dengan yang diperuntukkan kepada pelabur institusi (41%) dan pelabur bumiputera (11.5%).

2. Penyenaraian yang dibuat pada 28 Jun yang lalu adalah tidak kena masanya kerana pasaran saham dalam negeri dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu dan mengalami aliran menurun. Hal ini dapat difahami secara jelas dengan melihat kepada nasib yang dialami oleh saham Facebook yang merosot sehingga 25% sejak 10 hari selepas penyenaraiannya dan nasib 3 daripada 5 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mengalami kerugian sebanyak 20% daripada nilai pasaran saham sehingga akhir Mei lalu.

3. Prestasi FGVHB berada dalam keadaan tidak memberangsangkan akibat daripada produktiviti ladang Felda yang rendah kerana sehingga 53% daripadanya telah berusia 21 tahun dan perlu kepada penanaman semula. Proses penanaman semula ini perlu menelan belanja sekira-kira RM15,000 per hektar menjadikan jumlah keseluruhannya RM2.8 bilion. Projek dan pelaburan FGVHB di luar negara pula belum mampu untuk menjana kewangan.

4. Kejatuhan saham FGVHB akan melibatkan wang rakyat iaitu peneroka sedangkan peneroka juga perlu menanggung beban kadar faedah pinjaman yang dibuat daripada bank bagi tujuan pembelian saham dan sebahagian peneroka juga terpaksa menggadai hartanah mereka untuk tujuan itu. Bencana kerugian akibat penyenaraian tersebut telah dipaksakan keatas para peneroka dan keluarga mereka.

5. Proses penyenaraian FGVHB telah memperlihatkan adanya campur tangan politik berkepentingan pihak tertentu dan telah menjadikan Felda hak milik persendirian individu-individu tertentu. Ia juga membuka peluang kepada para pelabur asing termasuklah Zionis-Israel untuk menguasai aset negara dan tanah para peneroka.

Oleh itu, bagi menunjukkan komitmen dan ketegasan membantah penyenaraian tersebut, saya menyeru kepada para peneroka dan anak-anak peneroka khususnya dalam kalangan mahasiswa untuk turut serta dalam Himpunan Oren Selamatkan Felda pada hari esok (Sabtu, 14 Julai) untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan merayu kepada Baginda untuk campur tangan bagi menghentikan penyenaraian FGVHB di Bursa Malaysia.

Penulis ialah Pengerusi Inspirasi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: