13 Julai 2012

Mahasiswa muak janji mansuh ISA, ganti akta

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam sikap berdolak dalik Perdana Menteri terhadap apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Terbaru, setiausaha media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin telah disiasat bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 berhubung beberapa komentar beliau mengenai apa yang didedahkan oleh blogger 'Uncle Seekers' di laman sosial 'Facebook' dan 'Twitter'.

Pengerusi SMM, Safwan Anang berkata keterbukaan dalam memberi pandangan adalah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10.

“Namun, inilah sebenarnya hakikat yang berlaku dalam negara kita walaupun hanya mahasiswa yang bersuara maka ia sudah dikira mengancam keselamatan dan keamanan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, berbeza pula dengan situasi 'jerung-jerung besar' yang bersuara tidak pula dikenakan apa-apa tindakan berbanding mahasiswa yang sering teranaiya oleh akta-akta yang menyekat kebebasan mahasiswa untuk bersuara.

Beliau berkata, akta baru pula yang bakal mengganti akta Hasutan 1948 ini sudah pasti satu lagi babak penting dalam karier politik regim pemerintah sedia ada bagi mengekalkan kuasa mereka.

Katanya, mahasiswa masih ragu dengan apa yang dijanjikan oleh parti pemerintah lebih-lebih lagi sejak situasi semasa yang menghampiri pilihanraya umum ke-13.

“Kami di peringkat Solidariti Mahasiswa Malaysia sudah berasa muak dengan janji-janji manis kerajaan yang kononnya mahu menunjukkan keterbukaan mereka dalam mendengar hasrat rakyat seperti pemansuhan ISA dan Akta Hasutan,” ujarnya.

Namun, katanya ternyata mereka hanya pandai menabur janji-janji retorik dan rakyat mula bangkit menilai apa yang mereka lakukan.

“Bebaskan mahasiswa bersuara dan hentikan kezaliman yang berlaku kepada tahanan ISA! Mahasiswa seru agar semua rakyat terus bersolidariti!” katanya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: