28 Ogos 2012

Didenda RM3,000 curi telefon

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang lelaki yang menceroboh masuk rumah jirannya dengan niat untuk mencuri tidak kesampaian apabila kehadirannya disedari pemilik rumah tersebut.

Lebih malang, dia yang hanya sempat merembat sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericson milik jirannya itu dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Narizi Nawi, 26, dari Kampung Losong Hj Mat Shafie, di sini, selepas dia mengaku mencuri sebuah telefon bimbit bernilai lebih kurang RM300 milik jirannya, Nasiruddin Ramli, 23.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan di kediaman mangsa di Jalan Siakap, Kampung Losong Hj Mat Shafie, di sini, pada 8 Ogos lalu kira-kira jam 4.15 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada kira-kira jam 4.15 pagi hari kejadian, ayah mangsa telah keluar bekerja dan menutup semua pintu rumah dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, selepas 10 minit berlalu, ibu mangsa ternampak kelibat seorang lelaki (tertuduh) di dalam rumah itu dan terus melarikan diri sebaik menyedari kehadirannya diperhatikan.

Selepas itu, ibu mangsa terus memaklumkan kepada mangsa berhubung kejadian itu lalu tanpa berlengah mangsa membuat pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati ada beberapa barang
hilang termasuk dua telefon bimbit jenis CSL dan Sony Ericson serta beg duit miliknya.

Namun, setelah membuat pemeriksaan, sebuah telefon bimbit CSL dan beg duit miliknya berjaya ditemui di hadapan rumah dipercayai tercicir ketika tertuduh cuba melarikan diri sebelum itu.

Tanpa berlengah mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, pada hari sama kejadian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: