28 Ogos 2012

Piala Malaysia: Selangor tidak mudah serah kalah

10 Syawal 1433H. [MOD] -

PASUKAN Gergasi Merah Kuning enggan menyerah kalah begitu sahaja pada pertembungan getir berdepan T-Team menjelang perlawanan ketiga Piala Malaysia 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Biarpun Selangor berada dalam keadaan kritikal setelah gagal mengutip kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini, jurulatihnya Irfan Bakti berkata, masih terlalu awal untuk ‘mengibar bendera putih’ kerana aksi peringkat kumpulan baru sahaja memasuki perlawanan kedua.

Jelasnya, beliau masih belum mahu menekan butang panik biarpun ‘Misi 33’ tampak semakin samar selepas seri 2-2 dengan Pahang pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas.

“Keputusan ketika pertemuan dengan Pahang baru-baru ini memang mengecewakan, tetapi tiada apa yang perlu digusarkan kerana masih ada empat baki perlawanan.

"Lagipun, masih terlalu awal untuk mengaku kalah, saya percaya pemain akan bangkit dalam baki perlawanan selepas ini," kata Irfan sambil menambah, "pertemuan dengan T-Team malam esok (ini) amat penting untuk kami melakar kemenangan pertama."

"Apa yang penting, pemain jangan mengulangi kesilapan mudah seperti mana dilakukan sebelum ini.

"Kalau tidak, lupakan sahaja ‘Misi 33’ yang dicanangkan sekiranya tewas pada pertemuan berkenaan," jelasnya lagi.

Berdasarkan kedudukan selepas dua perlawanan sebelum ini, Selangor kini berada ditangga ketiga dengan mengutip satu mata dibelakang Pahang dan Sarawak yang berkongsi empat mata.

Sinar Harian

Tiada ulasan: