28 Ogos 2012

Susulan isu letak jawatan penulis Guardian, PKR mahu penjelasan PM

10 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – PKR mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap terbuka menyatakan pendirian pentadbirannya dalam isu penggunaan konsultan asing dalam membina imej di sebalik isu peletakan jawatan oleh penulis akhbar The Guardian, Joshua Trevino.

Trevino sebelum ini didakwa mengamalkan taktik kewartawanan kotor setelah beliau didedahkan menjadi konsultan FBC Media, yang menulis artikel-artikel memuji imej pemimpin tertentu termasuk Najib.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, isu yang penuh kontroversi itu didakwa menimbulkan semula isu obsesi pentadbiran Barisan Nasional (BN) bagi membayar konsultan bagi membina imej parti itu di luar negara.

“Tahun lalu Najib mengaku di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan membayar RM94 juta kepada FBC Media antara 2007 dan 2010.

“Meskipun Najib cuba menjauhkan dirinya daripada taktik kewartawanan kotor FBC yang ‘mengatur berita’ selepas menerima upah daripada Kerajaan Malaysia, dilihat masih gagal.

“Sedangkan, dua rangkaian media antarabangsa Perbadanan Penyiaran British (BBC) serta Saluran Niaga dan Berita Pengguna (CNBC) menamatkan kontrak mereka dengan FBC Media memandangkan pelanggaran etika kewartawanan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, Najib juga wajar berterus-terang kepada rakyat Malaysia tentang peranan pentadbirannya di dalam skandal mengatur berita yang telah memburukkan imej negara.

“Skandal ini membuktikan pentadbiran hari ini hanya menumpukan perhatian untuk mendapat pengiktirafan tidak bermakna dari luar bagi menutup kegagalan mereka menyelesaikan masalah di dalam negara.

“Jelas sekali pentadbiran Najib tidak mempunyai keutamaan yang sewajarnya dan hanya mampu menumpukan masa mereka terhadap fitnah dan penipuan, bukannya perubahan dasar,” jelas beliau lagi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: