28 Ogos 2012

Menangis dituduh edar dadah

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah metamphetamine di hadapan bangunan Umno, Jalan Sultanah Zainab di sini, 14 Ogos lalu.

Azizie Mohd Yatim, 21; Wan Rosli Abdul Manaf; Wan Muhammad Khairi Wan Kasim dan Wan Ahmad Farees Wan Abdul Wahib masing-masing 23 tahun dituduh mengedar 60 gram dadah di lokasi berkenaan pada jam 2.45 pagi.

Keempat-empatnya dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman di hadapan Majistret Muhamad Safuan Azhar. Selesai tuduhan semalam, kesemuanya bagaimanapun menangis ketika diiringi polis keluar dari mahkamah.

Pada prosiding semalam, tiada pengakuan direkodkan. Kes bersambung 25 November depan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan empat lelaki ditahan dalam Ops Khas Cegah Jenayah sempena Aidilfitri di sini, 14 Ogos lalu. Mereka ditahan bersama 600 pil kuda yang ditemui dalam beg di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam yang dinaiki.

Sinar Harian

Tiada ulasan: