28 Ogos 2012

Juruwang maut ditembak penyamun

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang juruwang maut terkena tiga das tembakan yang dilepaskan seorang daripada dua lelaki yang menyamun sebuah kedai Internet di Taman Jinjang Baru, Sentul, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Mohd Rahmat Jul, 34, berada di kaunter, sebelum premis terbabit tiba-tiba dimasuki dua lelaki berusia 40-an yang bersenjatakan parang serta pistol.

Menurut seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Dhari, 38, ketika kejadian dia bersama lapan pelanggan berada dalam premis terbabit.

Katanya, dua suspek terbabit meluru masuk, terus menuju ke kaunter premis sambil mengacukan pistol dan parang ke arah mangsa.

Menurutnya, kedua-dua penyamun itu mengugut mangsa untuk menyerahkan semua wang tunai yang ada.

"Mangsa terpaksa menyerahkan kira-kira RM2,000 sebelum kedua-dua penyamun itu beredar.

"Mangsa, bagaimanapun, sempat mencapai sebatang kayu dan memukul tangan penyamun yang bersenjatakan pistol, tetapi penyamun itu sempat lari keluar dari premis," katanya, semalam.

Saksi itu berkata, mangsa tidak berputus asa dan terus mengejar penyamun berkenaan, sebelum dia terdengar bunyi tembakan.

"Apabila saya keluar, mangsa sudah cedera parah ditembak. Saya kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Selayang dengan teksi," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, penyamun melepaskan tiga das tembakan dan mengenai perut serta paha mangsa.

"Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang.

"Dua penyamun itu bersenjatakan sepucuk pistol serta sebilah parang. Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Chin Wah berkata, usaha memburu kedua-dua penjenayah itu sedang giat dijalankan.

Isteri mangsa, Siti Samiah Gapal, 34, yang bekerja di kilang plastik berkata, suaminya ada menghubungi pada jam 3 pagi memaklumkan akan pulang lewat.

"Suami bekerja sambilan di situ dan saya hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan oleh ibu," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: