23 Oktober 2012

2 juta pekebun pikul beban harga komoditi jatuh

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung masalah kejatuhan harga komoditi yang semakin membebankan lebih dua juta pekebun kecil.

Memorandum itu sepatutnya diserahkan kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok.

Menurut Presiden Anak, Mazlan Aliman, pihaknya telah berusaha untuk bertemu menteri terbabit setelah dua kali membuat permohonan namun ia gagal.

Bagi Mazlan Aliman, isu kejatuhan harga komoditi tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan peneroka Felda, Felcra dan Risda.

Malah beliau tidak nampak usaha dan langkah kerajaan bagaimana untuk mengawal harga komoditi supaya ia stabil.

"Apakah langkah-langkah setakat ini yang dibuat oleh kerajaan?

"Jika sebelum ini tahun 1990, harga komoditi jatuh kerajaan umumkan langkah-langkah membantu pekebun kecil misalnya memberi subsidi mengikut tan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Tambahnya, kerajaan juga terpaksa sediakan pelan subsidi lebih satu billion untuk membantu pekebun kecil daripada terus terbeban waktu itu.

"Tetapi hari ini kita tidak dengar usaha kerajaan, kita serah memorandum ini supaya isu ini dapat diatasi," katanya.

Katanya, sekarang adalah musim melawas di mana produktiviti tidak tinggi iaitu setiap pekebun hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM700 hingga RM1,200 sebulan.

Baginya, pendapatan ini sangat kecil yang perlu dihadapi oleh pekebun apatah lagi berdepan dengan pelbagai kenaikan kos.

"Jika inilah pendapatan yang mereka peroleh bagi saya mereka sudah diklasifikasikan golongan miskin.

"Apatah lagi hujung tahun pelbagai perkara perlu diambil kira termasuklah persiapan persekolahan anak-anak," jelasnya.

Beliau percaya, unjuran harga komoditi akan terus mengalami kejatuhan selepas ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar berkata, kerajaan selalu menyatakan harga komoditi mengikut pasaran dunia ini bermakna kerajaan gagal meletakkan harga kepada paras minimum.

Katanya, keadaan ini sekali gus memperlihatkan menteri berkenaan gagal dalam mengenal pasti isu petani dan pekebun tempatan.

Harga kedua-dua komoditi pertanian utama mengalami aliran menurun, Oktober 2012 harga minyak sawit turun naik antara RM2,492 hingga RM2,501 setan metrik.

Ini jauh lebih rendah daripada harga tertinggi yang melebih RM3,000 setan metrik yang pernah dicapai pada tahun 2009.

Penganalisis pasaran menyatakan kejatuhan harga ini disebabkan oleh stok (simpanan tidak terjual) minyak sawit yang tinggi.

Harga getah turut mengalami penurunan sebanyak RM6 sekilogram, ia pernah mencapai RM10 sekilogram tetapi jatuh kepada RM8 pada tahun 2011.

Anak turut menyerahkan memorandum tersebut kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub. Turut bersama dalam sidang media itu Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria dan beberapa wakil dari Anak di peringkat negeri.

harakah/-

Tiada ulasan: