23 Oktober 2012

Tidak tahan atap bocor

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Tidak tahan atap bocor
Talib menunjukkan besin digunakan untuk menadah air hujan yang memenuhi biliknya.
 
TEMERLOH – Seorang pesara kerajaan di Kampung Buntut Pulau, di sini, terpaksa menyediakan lebih 10 besin untuk menadah air setiap kali hujan berikutan keadaan atap rumahnya bocor.

Pesara Majlis Daerah Temerloh (kini Majlis Perbandaran Temerloh) itu, Talib Saheh, 72, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membaiki kerosakan berikutan hanya menerima pencen sebanyak RM370 sebulan.

Menurutnya, dia juga tidak mampu mengambil upah menoreh getah lagi berikutan keadaan kesihatannya semakin teruk sejak kebelakangan ini.

Isterinya, Jahar Samiah Kassim, 62, pula terpaksa mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM450 sebulan.

Talib berkata, dia tinggal bersama tiga cucu dan dua anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang pernah memohon bantuan membaiki rumah daripada kerajaan beberapa tahun lalu.

“Dua kali orang datang ambil gambar. Mereka kata hendak bagi bantuan ganti atap. Saya tidak tanya mereka daripada mana dan kali terakhir mereka datang kira-kira setahun lalu,” katanya.

Menurutnya, selain masalah atap bocor di dapur dan ruang tamu, dia juga tidak pernah menggantikan kabel elektrik rumahnya yang berusia lebih 40 tahun.

“Masalah ini sangat membimbangkan saya kerana kabel dalaman elektrik perlu ditukar baru selepas 15 tahun untuk mengelak litar pintas yang boleh menyebabkan rumah kami terbakar,” katanya.

Talib berkata, atap rumahnya juga rosak teruk terutama di bahagian ruang tamu, dapur dan bilik anaknya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan isterinya terpaksa menggantikan tilam dan bantal dalam bilik tidur, malah makanan di dapur cepat rosak kerana terkena air hujan.

Sehubungan itu, Talib merayu kerajaan membantu menukar atap rumahnya di bawah skim baik pulih rumah diumumkan kerajaan kerana keluarganya benar-benar tidak mampu.

sinar/-

Tiada ulasan: