23 Oktober 2012

PAS tanding 30 dari 56 kerusi DUN Johor

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


(Dr Mahfodz, pesuruhjaya PAS Johor)

KLUANG: PAS akan bertanding 29 atau 30 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Di peringkat Parlimen pula, PAS akan bertanding lapan kerusi, kata Pesuruhajaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.

Ini bermakna, PAS bertanding paling banyak kerusi DUN Johor berbanding rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP yang akan bertanding kira-kira 27 kerusi lagi.

"Dalam pilihan raya 2008, kita bertanding 33 kerusi. Namun kali ini kita serahkan sebahagiannya kepada PKR dan DAP," kata beliau kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas majlis dialog dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS di sebuah hotel dekat sini.

KERUSI TUMPUAN


Dari jumlah itu, PAS memberikan tumpuan kepada 17 kerusi untuk dimenangi dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita beri tumpuan untuk menang 17 kerusi ini untuk membolehkan kita 'lead' Pakatan di Johor," kata beliau yang memberitahu, PAS Johor sudah bekerja keras sejak tiga tahun lalu.

DAP akan bertanding kira-kira 14 dan PKR pula akan bertanding 15 kerusi DUN.

KEBANGKITAN UNDI CINA


Menurut beliau, pengundi Melayu perlu memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya ini untuk mempastikan kestabilan politik berlaku di negeri ini.

"Ini kerana, ekoran kebangkitan pengundi Cina selepas 2008, kebanyakan kerusi di Johor akan jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya

Ini ekoran dari tindakan BN memasukkan pengundi Cina ke kebanyakan kerusi DUN di Johor dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 untuk menghadapi kebangkitan undi Melayu dalam pilihan raya sebelum itu (1999).

Hasilnya, banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina sekitar 40 peratus.

"Dalam pilihan raya 2008, hanya 60 - 65 peratus sahaja pengundi Cina mengundi PAS. Kali ini, kita jangka pengundi mereka akan bertambah (untuk PAS)," kata Dr Mahfodz.

Jika pengundi Melayu masih terus bersama Umno, mereka akan bersama pembangkang dan kerajaan yang dibentuk nanti tidak akan stabil.

"Kita tidak mahu ulangi apa yang berlaku di Perak di mana kerajaannay tidak stabil. Oleh itu, orang Melayu perlu mengundi PAS bukannya Umno dalam pilihan raya akan datang ini," kata beliau.

AGENDA


Menurut Dr Mahfodz, yang mendapat PhD dalam bidang undang-undang syariah, agenda negara berkebajikan akan mendominasi hala tuju PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umu ini.

"Kita telah mencapai kata sepakat dalam Pakatan Rakyat, kita akan tumpukan kepada kebajikan rakyat.

"Tawaran air percuma adalah agenda utama kita untuk rakyat Johor," kata beliau.

Beliau memberitahu, syariah Islam hanya akan dilaksana jika mendapat sokongan semua pihak dalam Pakatan Rakyat. Sebab itu, kata beliau, ia tidak menjadi agenda sehingga kini.

"Kita menyertai pilihan raya ini secara bersama, jadi apa-apa yang hendak kita buat mesti mendapat persetujuan bersama dalam konteks demokrasi," kata beliau.

harakah/-

Tiada ulasan: