23 Oktober 2012

Insentif pelajar luar berkhidmat di negara ini

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mencadangkan kerajaan memberikan insentif kepada pelajar luar negara yang menyambung pengajian di Malaysia supaya dapat memberikan sumbangan kepada negara.

Beliau berkata, tanpa mengenepikan pelajar-pelajar tempatan, pelajar luar negara juga harus diberikan insentif untuk kemudahan mereka menghabiskan pengajian seterusnya berkhidmat di Malaysia di dalam bidang yang tidak mendapat tempat di negara ini.

Langkah ini, katanya dapat menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan untuk bersaing dengan negara-negara lain.

"Saya cadangkan pelajar-pelajar luar negara ini diberikan insentif-insentif tertentu supaya selepas menamatkan pengajian, mereka terus berkhidmat di negara kita supaya untuk jangka panjang, Malaysia dapat dijadikan hub pendidikan," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Salahuddin mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat berhubung usaha kerajaan menyediakan insentif untuk pelajar dan pensyarah luar negara.
Soalan tersebut rentetan soalan asal Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol yang meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah pelajar dan pensyarah luar negara di semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mengikut bidang kursus sehingga September 2012.

Dalam sidang media sama, Salahuddin berkata, bidang sains sosial masih belum mendapat tempat yang baik di Malaysia sedangkan di negara barat, mereka sangat menitikberatkannya.

"Saya tidak nampak ada cadangan serius dan teliti untuk menarik pelajar luar negara berkhidmat di Malaysia.

"Di Malaysia sains sosial kadang-kadang tidak diberi keutamaan berbanding bidang perubatan, kejuruteraan misalnya.

"Sedangkan bidang ini penting untuk perkembangan sosial masyarakat. Misalnya di hospital, di jabatan kerajaan kekurangan pakar psikologi dan kaunselor. Jadi penting untuk menyediakan insentif kepada mereka yang memilih bidang ini," katanya yang juga Nab Presiden PAS.

harakah/-

Tiada ulasan: