2 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:
Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang telah dikeluarkan baru-baru ini
adalah kemuncak lambang kegagalan Umno BN menguruskan kekayaan negara
dengan baik.
Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Nazmi Nik Din berkata, ia
amat bertentangan dengan prinsip wasatiyyah yang dicanangkan oleh Umno
selama ini bahkan memalukan umat Islam di negara ini.
“Rakyat sudah bosan dengan pembaziran, kebocoran dan ketirisan yang
berlaku. Rakyat sudah tidak mampu menanggung lagi kerajaan yang sedia
ada,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Baginya, laporan audit itu memberikan isyarat bahawa Umno BN menjadi
liabiliti kepada rakyat Malaysia sekarang yang mesti ditumbangkan dalam
PRU13 yang akan datang.
"Busuk ikan bermula daripada kepala! Lihatlah bagaimana negeri yang
dipimpin Pakatan Rakyat telah mendapat pujian yang membanggakan dari
pihak audit, itupun dengan pelbagai sekatan dan tekanan daripada pihak
kerajaan pusat yang didukung oleh Umno BN.
“Bayangkan sekiranya Putrajaya kita takluki, insyaAllah lebih banyak
lagi kemakmuran yang akan mengalir kepada rakyat," tegas beliau lagi.
Katanya, angka-angka ketirisan yang begitu menggerunkan telah
dipaparkan secara rasmi di dalam laporan itu dan sekiranya dibiarkan
berterusan nescaya negara akan menuju ke arah bankrap.
"Kekayaan Malaysia adalah anugerah Allah s.w.t, maka ianya mesti
diuruskan mengikut kehendak Allah sebabnya apa yang perolehi selama ini
adalah milik Allah, kegagalan untuk mengikut peraturan Allah sudah pasti
akan mendatangkan mudarat kepada seluruh manusia.
"Kalau Umno BN terus diberi mandat untuk memerintah, selain daripada
kita, generasi selepas kita juga turut menderita, kita yang menanggung
hutang dan ketirisan yang berbilion ini," katanya lagi.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan