KUALA LUMPUR: Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersetuju dengan langkah yang diambil oleh
kerajaan Pulau Pinang dan Kelantan yang menangguhkan pemasangan sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik sementara menunggu
kajiannya sendiri perhubung pelaksanaan projek kontroversi tersebut.
Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar)
berkata, pihaknya menganggap langkah kerajaan Pulau Pinang dan Kelantan
sebagai tindakan tepat dan wajar bagi memastikan kepentingan ramai pihak
terjaga.
“Oleh kerana ia melibatkan rakyat khususnya pengguna jalan raya, ia
perlu dikaji sedalam-dalamnya mengenai kesan pelaksanaan projek tersebut
supaya tidak ada pihak yang merasa kerugian,” ujarnya kepada
Harakahdaily.
Ini, katanya kerana ramai mengesyaki projek ini hanya akan
menguntungkan syarikat kroni terbabit dan bukan sebagai pendidikan
terhadap pengguna trafik.
Sepatutnya, kata beliau kerajaan membentangkan hasil kajian serta
kesan sistem terhadap pengguna jalan raya sebelum pelaksanaan penuh
sistem ini nanti.
“Apa yang dibimbangi sistem ini tidak dapat membantu mengurangkan
kemalangan jalan raya malah pengguna jalan raya pula dianiaya dengan
banyaknya saman yang terpaksa ditanggung oleh mereka,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, seharusnya kerajaan pusat juga mencontohi kerajaan
Pulau Pinang dan Kelantan dengan membuat kajian dan analisa berhubung
pelaksanaannya.
Tambahnya, jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu menjaga keselamatan
jalan raya, setiap pelaksanaan yang melibatkan rakyat perlu diperhalusi
supaya tidak dikatakan ‘kerajaan mengambil keuntungan di atas
kesengsaraan rakyat’.
“Akhirnya nanti rakyat pula yang merana kerana terpaksa membayar
saman beratus ringgit sementara syarikat tertentu kaya raya hasil saman
yang mereka perolehi,” katanya lagi.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan