18 Oktober 2012

Budak koma jatuh tingkat 4

2 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


JOHOR BAHRU: “Saya sangka ia bunyi sampah dibuang tapi terkejut apabila mendapati sebenarnya anak jiran terjatuh dari tingkat empat,” kata Mariam Husin, 50, di Flat Geharu, Taman Rinting, Masai, dekat sini, semalam.

Mariam individu pertama menemui Almuziri Said, kanak-kanak berusia lima tahun yang terjatuh dari tingkat empat kediaman keluarganya di flat berkenaan pada jam 5.30 petang kelmarin.

Mariam berkata, sebaik menyedari apa sebenarnya berlaku, dia menjerit untuk menarik perhatian jiran dan mangsa kemudian dihantar orang awam ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan.
  
Sebelum kejadian, Almuziri dipercayai memanjat tingkap bilik ibunya, namun terjatuh dan ketika itu ibu saudara, Adelin Ismail, 17, yang menjaganya sedang membancuh susu di dapur manakala ibunya, Fauzieh Ismail, 30, keluar bekerja di Pasir Gudang.

Akibat kejadian itu, tempurung kepala Almuziri retak dan dia kini koma serta dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.

Menurut Mariam, dia kerap melihat Almuziri bermain di kawasan parkir kenderaan berdepan rumahnya.
“Dia kanak-kanak yang periang. Kami sedih dengan kejadian menimpa Almuziri dan akan melawatnya dalam masa terdekat. “Ini kejadian pertama berlaku di sini dan kami harap, keluarganya tabah dengan ujian ini,” katanya.

Sementara itu, Fauzieh ketika ditemui di HSI berkata, dia berdoa agar anak tunggalnya itu selamat.
“Saya sedang bekerja sebelum dihubungi adik yang memaklumkan Almuziri terjatuh dari tingkat empat sebelum bergegas pulang.

“Saya terkejut melihat kecederaan anak dan berdoa supaya dia segera sembuh. Doktor memaklumkan Almuziri akan menjalani pembedahan di kepala dalam masa terdekat,” katanya yang juga ibu tunggal.

Fauzieh turut berterima kasih kepada jiran yang membantu, kakitangan HSI serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas Jaya, Datuk M M Samy yang melawat dan menghulurkan sumbangan kecemasan.
M Samy berkata, pihaknya akan memantau perkembangan Almuziri dan menghulurkan bantuan lain yang bersesuaian.

“Kami simpati dengan kemalangan yang menimpa Almuziri dan berharap Fauzieh tabah. Kami akan bantu keluarga berkenaan mengikut keperluan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Masyarakat Sabah Pasir Gudang, Alex Puspah, menasihatkan komuniti itu yang tinggal di flat memasang jeriji di kediaman masing-masing.

“Ada di kalangan masyarakat Sabah tidak memasang jeriji pada kediaman di flat menyebabkan anak mereka berisiko untuk jatuh jika bermain di tingkap bilik atau dapur.

“Itulah yang berlaku terhadap Almuziri. Jika kediaman itu dipasang jeriji, kemalangan itu mungkin boleh dielakkan. Ia perlu dijadikan pengajaran kepada semua,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: