18 Oktober 2012

Pelajar Saudi di AS lancar kempen Nabi Muhammad

2 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


RIYADH: Sebagai reaksi kepada filem yang menyinggung umat Islam Julai lalu, enam pelajar Arab Saudi di Amerika Syarikat telah memulakan inisiatif untuk membiasakan orang ramai dengan watak sebenar Nabi Muhammad SAW, dengan cara yang bertamadun dan tidak konvensional.

Pelajar di University of Dayton, Ohio, telah melancarkan satu projek dengan cara yang mereka gambarkan sebagai "inovatif dan bertamadun, untuk memberi gambaran sebenar Nabi, tidak seperti yang digambarkan oleh orang-orang yang bertujuan untuk menghina baginda," ujar Abdul Muhsin Abdul Kareem, antara pelajar yang melancarkan inisiatif tersebut.

Dalam temu bual telefon dengan Asharq al-Awsat, Abdul Kareem berkata: "Kami menyediakan mawar yang berlabel 'Who is Muhammed', dan di sisi lain label terdapat biografi ringkas Nabi SAW, dan pautan ke sebuah laman web yang mengandungi maklumat yang lebih luas dan terperinci".

Pelajar-pelajar tersebut meletakkan lebih daripada 200 kad di tengah-tengah satu kalungan bunga ros, dan mengedarkannya di seluruh universiti dengan bantuan Kelab Arab Universiti Dayton. Kumpulan ini meluangkan beberapa hari sebagai persediaan projek tersebut, dan membeli bunga ros dengan jumlah yang besar.

Abdul Kareem menjelaskan bahawa "Kami berusaha untuk memberi gambaran positif pelajar Saudi yang belajar di luar negara, dan pada masa yang sama kami mahu secara praktikal menyokong Nabi SAW dan umat Islam".

Ahmed al-Safran, yang turut mengambil bahagian dalam projek itu berkata: "Kami mengambil pendekatan yang menarik untuk membiasakan orang ramai dengan Nabi SAW, dengan menyampaikan bunga dan hadiah. Ini membuatkan mereka tersenyum, budaya Amerika sangat menerima pendekatan seperti ini ".

Inisiatif itu disertakan dengan gambar-gambar yang dihantar di di rangkaian sosial, dan ia telah menarik minat pelbagai pihak. Ahli pasukan yang lain; Mohammed al-Manea, Adib Luhaidan, Yusuf al-Rumaih dan Abdullah al-Shammari, berjaya untuk mendapatkan pelajar-pelajar lain untuk mengambil bahagian di negeri dan bandar lain, dalam usaha untuk menyebarkan inisiatif tersebut dan menerapkan idea yang sama di universiti mereka sendiri.

Filem yang menghina Nabi Muhammad mencetuskan kemarahan di seluruh dunia Islam yang menyebabkan berlakunya protes di Libya, Mesir, Pakistan dan lain-lain negara Islam.

Pada masa yang sama, belia dari negara Arab, Islam dan Barat menghasilkan siri klip video untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai watak Nabi Mohammed SAW yang sebenar dan sifat sebenar Islam.

Mereka menyiarkan klip-klip tersebut di YouTube dan lain-lain laman web rangkaian sosial, menggunakan kaedah sama yang digunakan oleh penerbit filem hina Nabi. (Asharq Al-Awsat)

harakah/-

Tiada ulasan: