KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat wang
RM40 juta yang diseludup ke Malaysia untuk Umno Sabah walaupun perkara
itu sedang disiasat oleh Independent Commission Against Corruption
(ICAC) Hong Kong.
Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, walaupun Perdana Menteri sendiri merestui pemberian wang tersebut sebagai sumbangan politik tetapi keraguan di kalangan rakyat menyatakan wang itu milik Ketua Menteri Sabah.
"Sudah terbongkar penyeludupan wang itu, terus dikatakan ia sumbangan untuk parti, kalau tidak diketahui umum adakah ia dikatakan milik parti atau hak sendiri," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.
Apa yang diragukan, katanya, SPRM masih belum menyiasat perkara ini sebaik sahaja Perdana Menteri memberi perlindungan kepada Ketua Menteri Sabah.
Beliau berkata demikian selepas tidak berpuas hati dengan jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dalam sesi soal jawab berhubung perkara itu.
Tan Kok Wai turut menjelaskan kos pembinaan bangunan DAP di Pulau Pinang tidak ada kaitan dengan wang dari pihak berkepentingan melainkan ianya adalah sumbangan orang ramai.
"Bangunan kita kira-kira RM3 juta adalah melalui akaun tabung yang telus dan terbuka.
"Wang yang diperolehi melalui kegiatan dan kempen kutipan derma secara terbuka," katanya.
Malah katanya, DAP bersedia memaklumkan secara terbuka akaun mereka termasuklah akaun pembinaan bangunan tersebut.
"Kita cabar parti komponen BN untuk berbuat sedemikian," katanya.
Dalam jawapannya kepada soalan Ahli Parlimen Batu Tian Chua sebelum ini, Nazri Aziz berkata, "tidak ada unsur rasuah dibuktikan" di dalam kes itu.
Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Umno negeri, Datuk Seri Musa Aman sebelum ini menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan hartawan balak, Michael Chia yang pernah ditahan pada 2008 kerana cuba menyeludup wang haram berjumlah RM40 juta.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan