11 Oktober 2012

Cipta mesin hapus sarang tebuan

25 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


Cipta mesin hapus sarang tebuan
Wan Salman (dua, kiri) mencuba Hibic-Fire bersama ahli kumpulan KIK Balora yang diketuai Mazlan (tengah).
 
JENGKA – Berikutan banyak kejadian kematian melibatkan serangan tebuan, Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) Balora Majlis Daerah Maran (MDM) mencipta satu alat khas bagi menangani masalah terbabit.

Ketuanya, Mazlan Abdul Rahman berkata, alat terbabit yang dinamakan Hibic-Fire direka khas untuk menangani masalah sarang tebuan yang membahayakan masyarakat setempat.

“Kami tampil dengan inovasi ini setelah berfikir dan mencari penyelesaian yang lebih berkesan bagi menghapuskan sarang tebuan.

“Alat yang kami reka ini tidak hanya selamat digunakan, malah telah mendapat pengesahan pihak Bomba akan keselamatan kepenggunaan alat ini,” katanya.

Tambahnya lagi, sejak ia direka, mereka telah berjaya menghapuskan beberapa sarang tebuan yang ada di sekitar Jengka ini.

“Alat yang kami reka ini tidak hanya boleh digunakan untuk masalah sarang tebuan yang bersarang di lapangan atau di dahan-dahan pokok, malah juga selamat digunakan untuk sarang tebuan yang berada di dalam bangunan.

“Ia mempunyai dua teknik iaitu menggunakan api dan juga penyembur racun serangga. Bagi sarang di lapangan, kami akan menggunakan api, manakala bagi di dalam bangunan, kami akan menggunakan penyembur racun serangga,” katanya.

Tambahnya, alat terbabit selain telah mendapat pengiktirafan bomba, ia juga kini dalam proses mendapatkan sijil pengesahan dari MyIPO bagi mempatenkan hak cipta.

Katanya lagi, alat tersebut juga telah dipertandingkan sebanyak tiga kali dan memenangi pingat emas bagi pertandingan dan bakal menyertai pertandingan yang sama di peringkat kebangsaan pula pada 15 hingga 17 Oktober nanti.

SINAR/-

Tiada ulasan: