25 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU – Tiga remaja nakal terpaksa bermalam di lokap selepas
ditahan kerana disyaki terlibat mencuri antara 10 hingga 20 buah
motosikal jenis Honda EX5 bernilai RM80,000 milik jemaah yang sedang
bersembahyang di surau dan masjid sekitar daerah ini sejak tiga bulan
lalu.
Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 19 tahun tersebut ditahan secara berasingan bermula pukul 8.30 malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman
memberitahu, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa
Peringat dekat ini.
Katanya, di situ, seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak
bersekolah ditahan bersama pelbagai komponen dan sebuah casis motosikal
di dapur rumahnya.
“Sejam kemudian, polis menahan pula seorang remaja berusia 19 tahun
di Chuchuh Puteri, Kuala Krai, dan merampas sebuah motosikal yang dicuri
di Nilam Puri.
“Polis menyelesaikan kes pada malam itu juga apabila suspek terakhir
berusia 19 tahun ditahan di Kampung Padang Mengkali di sini bersama
pelbagai komponen motosikal termasuk empat kulit enjin di dalam bilik
tidurnya. Ketiga-tiga suspek merupakan rakan sejenayah,” katanya.
Tambahnya, penjenayah hanya mencuri motosikal EX5 kerana mendapat
permintaan tinggi. Kawasan yang sering disasarkan di surau dan masjid
ketika jemaah sedang bersolat.
Menurut Azham, rangka motosikal dan komponen yang tidak diperlukan dibuang ke dalam tali air Kampung Padang Kala.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan.
Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan